9 Bisnes Part-time Untuk Pelajar Universiti

Ketidakstabilan ekonomi dan politik sekarang menjadikan ramai rakyat Malaysia memilih untuk mencari pendapatan sampingan terutamanya pelajar IPT. Walaupun ada yang mendapat biasiswa atau pinjaman pelajaran, ianya tidak mencukupi untuk menanggung makan minum sehingga akhir semester kerana barangan keperluan pelajaran semua mahal-mahal.

Ada juga pelajar yang teringin menceburi bidang perniagaan. Maklumlah, di zaman ini usahawan bagaikan selebriti seperti Elon Musk, Mark Zuckerberg, dan sebagainya. Semua pelajar teringin hendak mengikuti jejak langkah para pemimpin teknologi yang hebat ini. Tetapi apakah bisnes untuk pelajar yang sesuai?

Sebenarnya, cara bermula senang sahaja. Istilah ‘berniaga‘ bukan bermakna anda perlu buka kedai atau syarikat sendiri. Jual kerepek pun dikira bisnes sendiri. Saya tahu bukan mudah membuat bisnes untuk pelajar kerana kekangan duit dan masa. Jadi, saya ingin cadangkan anda beberapa modal bisnes yang mudah, murah, dan tidak mengganggu waktu belajar di universiti.

1. Jual Kerepek Pisang

Ok, actually bukan menjual kerepek semata-mata. Tapi, bisnes yang paling mudah adalah bisnes makanan. Sebagai contoh, dapatkan kerepek pek besar dari kedai borong. Kemudian, pek semula dalam bekas-bekas kecil dan tampalkan logo sendiri. Tahniah! Anda sekarang mempunyai produk makanan tersendiri.

Letakkan di tempat-tempat yang ramai pelajar lalu – tangga kolej, luar kelas, dll. Anda juga boleh promosikan di dalam laman Facebook pelajar universiti anda dan sediakan servis penghantaran kepada mereka. Modal kecil dan cepat!

Cara yang sama boleh digunakan untuk biskut, roti, gula-gula, air manis, dan bermacam-macam lagi. Gunakan daya kreativiti anda.

Jangan lupa. Jika anda ingin membuat bisnes untuk pelajar, anda harus bermula dengan tiada modal, ataupun bootstrap.

2. Bisnes Online/Dropship

Sudah menjadi trend masa kini untuk memulakan bisnes online bagi mencari pendapatan sampingan. Hal ini kerana bisnes online tidak memerlukan modal yang besar dan masa yang banyak. Maka, ia amat sesuai sebagai bisnes untuk pelajar, terutamanya mereka yang ingin melakukannya secara sambilan.

Bagi pelajar yang baru nak berniaga, jangan nak mengada-ngada keluarkan modal besar untuk menyimpan stok kerana tanggungjawab utama anda adalah belajar, jadi, anda tiada masa untuk menguruskan semua itu. Sebaiknya, anda mulakan bisnes online secara dropship – jual barangan milik orang lain. Terdapat banyak syarikat jualan yang membuka peluang dropship barangan mereka. Risikonya lebih rendah berbanding bisnes sendiri, tetapi, anda berpeluang untuk menjana pendapatan lebih banyak.

3. Servis Transporter atau Sewa Kereta

Bagi pelajar yang mempunyai kenderaan tidak kira kereta atau motosikal, anda boleh buat servis pengangkutan atau lebih dikenali sebagai transporter. Anda hanya perlu mengangkut penumpang ke destinasi yang ingin dituju. Kemudian, caj tambang mengikut jarak perjalanan disamping mengikut kadar semasa. Syaratnya, anda perlu mahir memandu dan selok-belok jalan.

Eh, macam pernah dengar je? Ya betul. Di Malaysia kita ada syarikat Grab yang sudah memudahkan perjalanan ini. Kalau nak tau dengan lebih lanjut, boleh cuba ke laman web Grab.

Di samping itu, anda juga boleh buat servis sewa kereta mengikut kelapangan. Daripada kereta tersadai ketika tidak diguna, baik sewakan kepada pelajar yang memerlukannya. Terpulang kepada anda ingin menetapkan masa dan harga sewaan, tetapi perlu mengikut kadar semasa juga. Wang yang anda dapat boleh menampung ansuran bulanan serta kos penyelenggaraan kereta tersebut. Not bad lah sebagai bisnes untuk pelajar.

4. Runner (servis penghantaran)

Selain daripada membuat penghantaran penumpang, anda boleh juga gunakan kenderaan anda untuk buat servis penghantaran makanan, bungkusan, dan sebagainya. Anda hanya perlu mengambil atau membeli barangan yang telah di pesan dan menghantarnya ke tempat yang diminta oleh pelanggan.

Alang-alang perjalanan pergi atau balik kelas anda yang tidak sibuk, anda boleh gunakan peluang itu untuk mengambil upah runner barangan keperluan kawan-kawan atau pelajar lain. Seperti yang kita lihat, ramai pelajar yang sibuk dan tidak sempat untuk pergi membeli makanan dan barangan keperluan, jadi, mereka amat memerlukan servis ini supaya mereka dapat terus survive.

5. Freelancer

Menjadi seorang freelancer adalah salah satu bisnes untuk pelajar yang paling saya gemari. Saya pasti setiap pelajar mempunyai kemahiran mereka tersendiri – ada yang mahir berbahasa, ada yang mahir menulis, dan ada yang mahir menyunting. Dengan kemahiran tersendiri, anda boleh manfaatkannya untuk buat duit dengan melakukan kerja freelance. Anda boleh jadi penulis, novelis, penterjemah, editor, pereka, dan bermacam lagi secara freelance atau bekerja sendiri. Pada masa yang sama, anda dapat menggilat bakat anda itu.

Terdapat banyak laman sesawang tempatan dan antarabangsa yang menawarkan peluang pekerjaan secara freelance ini. Anda hanya perlu sertai mereka, pilih bidang yang anda mahir, hantar hasil kerja anda, kemudian anda akan dibayar royalti. Hanya melalui online, anda mampu menjadi freelance berjaya.

6. Personal Shopper

Bagi yang kaki shopping tu boleh la buat servis personal shopper. Alang-alang anda keluar untuk membeli-belah, anda boleh ambil upah belikan produk dari jenama-jenama tertentu dan hantarkan kepada pelanggan anda. Anda boleh kenakan caj perkhidmatan dan penghantaran berdasarkan kuantiti barang dan jarak penghantaran. Kalau pelanggan berpuas hati dengan servis anda, kebanyakan mereka akan bagi wang tip lebih.

Dalam bisnes ini, anda boleh dapat keuntungan 10-30 ringgit dari setiap pelanggan. Katakan anda dapat 5 pelanggan sehari, anda boleh dapat paling kurang RM50. Agak lumayan kan. Boleh la buat tampung perbelanjaan shopping anda.

7. Tutor Peribadi

Malaysia sangat terkenal dengan sistem pendidikan yang banyak peperiksaan – UPSR, PT3, SPM, dan STPM. Jika anda mahir dalam subjek tertentu, kenapa tidak jadikan ia sebagai income? Anda boleh sediakan khidmat tutor atau tuisyen kepada pelajar sekolah mahupun rakan universiti. Anda boleh kenakan bayaran mengikut jam, tapi jangan mahal sangat kerana ilmu perlu dikongsi, bukan untuk dijual beli.

Selain itu, kalau anda pandai mengaji dan ilmu agama, anda boleh mengajar orang yang memerlukan orang untuk memperbetulkan bacaan Qur’an dan mendalami ilmu agama. Untuk ini, ambillah upah seikhlas hati kerana Insya-Allah upah di akhirat lebih banyak.  Kalau anda pandai promote perkhidmatan anda, tidak mustahil anda dapat mengumpul RM100-200 sebulan. Dunia dapat, akhirat pun dapat!

8. Servis Top-up (tambah nilai)

Pada zaman teknologi kini, semua orang memiliki telefon bimbit. Jadi, permintaan untuk servis top-up adalah sangat tinggi terutamanya di kalangan pelajar kerana mereka tiada masa untuk ke kedai. Jadi, sebagai pelajar, anda boleh sediakan servis jual top-up kepada rakan pelajar yang lain. Walaupun komisen hasil jualan top-up tidak banyak, tetapi ia boleh menampung duit makan anda di universiti. Bukan setakat meringankan beban pelajar lain, ia juga dapat meringankan beban anda. Cuba lah!

9. Servis Cuci Bilik/Baju

Kebanyakan pelajar sibuk dan tidak sempat untuk kemas bilik dan cuci pakaian mereka, jadi mereka memang perlukan orang yang boleh bersihkan untuk mereka. Bagi yang duduk di hostel, anda boleh buat servis cuci bilik atau cuci baju pada waktu lapang. Walaupun ia memenatkan, tetapi upahnya agak lumayan kerana caj terpulang kepada anda. Sekali cuci anda boleh caj RM50 paling kurang bergantung kepada keluasan dan kekotoran bilik. Penat, tapi berbaloi!

Sekian perkongsian saya tentang 9 bisnes part-time yang sangat praktikal dan boleh dilakukan oleh golongan pelajar. Peringatan saya, jika anda memilih untuk melakukan bisnes part-time berikut, anda mesti sanggup korbankan masa rehat dan masa untuk bersuka ria.

Kemudian, anda harus sentiasa mencari pengalaman supaya anda lebih memahami dunia bisnes. Mana tahu dari sekadar mencari income, menjadi minat dan kerjaya? Anda pula boleh sediakan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda. Apa pun, sentiasa jadikan pelajaran sebagai keutamaan dan jangan terlalu asyik mengejar duit sehingga mengabaikan akademik! Selamat maju jaya!

Siti Wardah

I am a linguistics student who is exploring the strange world of media (content writing). Hope everyone enjoy my writings. :)

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: