Burger Ramly: Pengasas Industri Burger Malaysia

Burger Ramly dalam wrapper

Bagi sesiapa yang membesar di Malaysia pada era 80- dan 90-an, burger Ramly menjadi sebahagian daripada memori indah zaman remaja. Di hampir setiap sudut jalan, pasti ada gerai Burger Ramly.

Sama ada zaman sekolah, remaja, atau bekerja, kita tetap setia pada Burger Ramly.

Tidak hairanlah kini ia menjadi legasi makanan ikonik Malaysia. Malah, ramai YouTuber dari seluruh dunia datang mencuba burger Ramly kita. Ya, ‘Ramly kita’, sebab selama 50 tahun, walaupun di tengah-tengah kegawatan ekonomi atau pergolakan politik, Ramly Burger sentiasa ada, setia menemani ketika kita lapar.

Jadi, tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa Burger Ramly telah mencipta budaya burger di Malaysia. Jenama seperti Otai Burger, GTR Burger, Zam Burger, dan banyak lagi lahir daripada legasi ini.

Oleh kerana kami di ThePejabat minat dengan semua perkara bisnes, mari kita selami lebih dalam tentang model perniagaan Ramly Burger.

Model Perniagaan Burger Ramly

Apa yang kita nampak, Ramly ada 2 jenis business model. Satu adalah membuat dan supply daging burger. Dan kedua adalah franchise gerai burger.

Pada mulanya, burger bukan sesuatu yang orang biasa makan pada tahun 70’an. Lebih-lebih lagi, sebahagian besar tempat yang menjual dan memproses daging burger adalah milik orang bukan Islam. Jadi daging halal-haram menjadi satu isu hangat pada masa itu.

Ini tercetusnya idea bagi Dato’ Ramly untuk mengambil peluang dan membuat daging burgernya sendiri. Tanpa berlengah, beliau menggunakan duit simpanannya sedikit untuk membuka gerai burger dan dalam masa sama menjual daging burgernya sendiri di sekitar Kuala Lumpur.

Sedikit demi sedikit, pelanggan mula tertarik dengan rasa unik burger Ramly. Jualan mereka semakin bertambah dari 200 keping sehingga 2,000 ke 3,000 keping sehari.

Dari sini kita dah boleh nampak langkah-langkah seterusnya.

Sistem Francais Usahawan Mikro

Dalam usaha memperluaskan jenamanya dan membantu usahawan muda, Dato’ Ramly memperkenalkan sistem francais usahawan mikro yang mudah dan berpatutan. Model ini memberi peluang kepada individu untuk membuka gerai burger dengan modal yang rendah, di mana Ramly menyediakan kelengkapan asas seperti gerai, peralatan, dan bekalan daging burger.

Ini bukan sahaja memudahkan pengedaran produk Ramly, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan untuk lebih daripada 30,000 mikro-usahawan di seluruh Malaysia. Sistem ini telah membantu ramai individu, terutamanya anak muda, memulakan perniagaan mereka sendiri dan meningkatkan taraf hidup keluarga mereka.

Pemprosesan dan Pengedaran

Dalam masa sama, Dato Ramly juga meningkatkan pemprosesan dan mengukuhkan sistem pengedaran daging burgernya.

Tahun 1984 menjadi titik perubahan besar buat Ramly Burger. Beliau membuka kilang pemprosesan pertamanya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Ini membolehkan pengeluaran daging burger secara besar-besaran.

Kilang ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran, tetapi juga membolehkan Ramly mempelbagaikan produknya. Kini, selain burger, Ramly turut mengeluarkan nuget, sosej, bebola daging, dan pelbagai produk makanan sejuk beku yang lain.

Ini membolehkan Dato Ramly menceburi pengedaran produk Ramly ke pasaran luar negara. Kini, produk Ramly boleh didapati di beberapa pasaran negara luar termasuk Thailand, Indonesia, Myanmar, Indonesia, Singapura dan Bangladesh.

Pengembangan dan Kejayaan

Bayangkan apa yang dimulakan dengan pelaburan kecil sahaja. Itu pun dari simpanannya sendiri sebanyak RM2000 pada tahun 1978. Telah kini mampu menjana jualan hampir RM2 bilion setahun.

Pada tahun 2017, beliau membina kilang terbesar iaitu di Halal Hub Industrial Park di Pulau Indah, Selangor dengan harga lebih kurang RM1 bilion. Kilang ini dilengkapi teknologi automasi canggih yang meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Mereka sekarang mampu menghasilkan daripada 100,000 daging burger sehari kepada 1 juta sehari.

Selain daripada itu, kilang ini juga menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), di mana mereka boleh mencipta produk-produk baru untuk memenuhi cita rasa pengguna moden.

Atas prestasi cemerlang sepanjang beberapa dekad, Ramly telah mendapat pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah Projek Terbaik (1982), Anugerah Pembangunan Pelanggan (1984), Anugerah Usahawan Jaya (1992), dan Anugerah Kecemerlangan Industri Halal (2016).

Legasi

Ramly Mokni bukan sahaja mencipta sebuah jenama, tetapi telah meletakkan asas kepada sebuah industri yang kini menjadi sebahagian daripada budaya Malaysia. Dalam lebih empat dekad, beliau telah membantu mencipta peluang pekerjaan dan mengubah kehidupan lebih 30,000 mikro-usahawan yang kini menjalankan gerai burger Ramly di seluruh negara.

Lebih penting lagi, beliau berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap burger, menjadikannya salah satu makanan jalanan paling ikonik di Malaysia. Jenama Ramly telah mencipta satu piawaian baru dalam industri makanan halal, tidak hanya di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

kilang hi-tech burger Ramly

Pelajaran dari Ramly Mokni

Kejayaan Ramly bukan sekadar tentang jualan daging burger. Ia adalah kisah tentang keberanian untuk mencipta sesuatu yang baru dan ketabahan menghadapi cabaran. Antara pelajaran utama dari kisah beliau adalah pentingnya mengenal pasti peluang di saat orang lain ragu-ragu. Ramly berjaya kerana beliau melihat peluang dalam industri makanan halal dan mengambil tindakan pantas untuk memenuhi keperluan itu.

Sifat keusahawanan yang beliau tonjolkan adalah contoh terbaik bahawa dengan ketekunan dan inovasi, apa yang bermula kecil boleh berkembang menjadi sebuah empayar. Usaha beliau untuk terus berinovasi, seperti membuka kilang automasi dan menambah produk baru, adalah bukti bahawa perniagaan perlu sentiasa berkembang untuk kekal relevan

Kisah kejayaan Dato’ Ramly Mokni adalah sumber inspirasi kepada kita semua, terutamanya kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan sendiri. Melalui kerja keras, ketekunan, dan keberanian untuk berinovasi, beliau membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya, walaupun bermula dengan sumber yang terhad.

Kita di ThePejabat percaya bahawa Ramly Mokni layak mendapat lebih banyak penghargaan atas sumbangan beliau dalam membina jenama yang bukan sahaja popular, tetapi juga memberi kesan besar kepada masyarakat dan ekonomi. Marilah kita terus menyokong produk tempatan dan mengikuti jejak langkah Ramly untuk berani bermimpi besar dan mencapai kejayaan.