Bila bercakap tentang memulakan bisnes, setiap orang teringin untuk menjadi bos dan adakan bisnes tersendiri. Tapi bila nak bermula, kita sering dilanda dengan bermacam-macam alasan dan kebimbangan.
Bimbang bisnes tak menjadi, bimbang tak balik modal, bimbang tak ada orang yang nak beli produk kita.
Kebimbangan-kebimbangan ini bukanlah perkara baru, malah ia menghantui ramai bakal usahawan.
Namun, persoalan penting yang patut kita tanya ialah: Apa akan jadi kalau kita TIDAK buat?
Takut Gagal: Penghalang Utama
Takut gagal adalah salah satu sebab utama ramai yang tidak memulakan bisnes. Secara terus terang, memang benar kegagalan itu adalah risiko yang besar.
Namun, realitinya, risiko wujud di mana-mana.
Kalau nak difikirkan, kita naik kereta atau bas ada risikonya. Naik kapalterbang ada risikonya. Malah berjalan kaki pun ada risikonya. Dan maaf nak cakap, risiko ni lagi tinggi kos nya. Ini persoalan antara hidup dengan mati.
Tetapi kita tetap buat jugak.
Kenapa? Sebab tanpa disedari, kita sudah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan risiko tersebut dan meningkatkan keselamatan kita.
Sama juga dengan perniagaan.
Kita ambil contoh yang simple. Cuba ikut langkah berikut:
- Sebelum bermula, kita memilih bidang yang kita faham dulu – bidang kecantikan, pandai mengajar, pandai memasak, pakar perakaunan.
- Kita cuba belajar perkara-perkara yang diperlukan – samada online atau secara fizikal.
- Kita belajar dari mentor yang sudah melalui bisnes tersebut – cari pengusaha atau mentor walaupun yang ada di YouTube.
- Lepas tu test market secara kecilan – bagi sample kat kawan-kawan, kenalan, keluarga, rakan kerja.
- Then dah boleh mula – once ada feedback, kita improve apa yang patut, kemudian boleh rollout bisnes kita.
Saya pasti kalau anda ikut langkah-langkah ini, anda antara pengusaha baru yang akan selamat dalam perniagaan.
Ada banyak lagi perkara yang kita boleh lakukan untuk mengelak dari kegagalan dalam bisnes terutama bagi yang baru nak bermula. Boleh baca posting kita berkenaan topik ini.
Kita jangan lupa, duduk terlalu lama dalam pekerjaan anda juga adalah risiko. Dengan teknologi yang begitu pesat, contohnya kecerdasan buatan (AI), boleh buat anda redundant dalam masa terdekat.
Bila itu terjadi, apa back-up plan anda?
Jangan Tunggu Sehingga Terlambat
Sebaliknya, ada juga mereka yang terlalu berhati-hati sehingga terperangkap dalam fasa perancangan. Mereka terlalu fokus untuk memastikan segalanya perfect sebelum mulakan bisnes mereka.
Tetapi dalam kes begini, kita kena faham. Mungkin dia menggunakan dana sendiri yang terhad. Dia ada komitmen tinggi dengan keluarga, sewa rumah dan kereta, dan sebagainya. Jadi dia nak pastikan semuanya tersusun dahulu.
Disebabkan itu, kami sarankan ramai pengikut kami di ThePejabat untuk baca panduan ‘Bagaimana Nak Bermula Bisnes Sambil Bekerja’ di mana kami gariskan langkah-langkah yang praktikal bagi mereka yang masih ada pekerjaan hakiki.
Walaubagaimanapun, anda harus mengambil langkah pertama. Apa akan berlaku adalah masa akan berlalu dan lama-kelamaan semangat keusahawanan yang sedang membara itu akan dipadam.
Rugi sangat.
Apa Berlaku Jika Tidak Bertindak
Dengar sini, kita kena realistik. Apa yang kita belajar selepas sekatan PKP musim Kovid, dan sekarang cabaran ekonomi yang semakin teruk, risiko SEBENAR adalah untuk tidak membuat apa-apa.
Menjadi stagnant adalah risiko paling besar bagi kita.
Tambahan lagi dengan adanya perkembangan teknologi seperti AI, atau kecerdasan buatan, yang tak lama lagi akan mengambil pekerjaan kita – walaupun secara tidak langsung. Bayangkan dulu kerja 5 orang akan dibuat dengan seorang saja.
Adakah pekerjaan anda selamat?
Apa kata kita guna teknolog tersebut bersama dengan kemudahan yang ada sekarang untuk menambah ilmu dan daya keusahawanan kita? Bayangkan kalau kita dapat bawak balik RM1000 extra untuk keluarga kita. Tak perlu banyak pun.
Kita dah ada TikTok Shop, Shopee, Lazada, mahupun peluang bisnes lain seperti mengajar tuisyen online, pereka grafik, pemasaran digital dan lain-lain.
Nauzubillah jikalau berlaku sesuatu yang tak dijangka lagi sekali seperti wabak atau krisis ekonomi, sekurang-kurangnya anda ada backup.
Mulakan Sekarang, Jangan Tangguh Lagi
Pada akhirnya, masa depan terletak di tangan anda. Setiap hari yang berlalu tanpa bertindak adalah satu peluang yang hilang. Bisnes bukanlah sesuatu yang perlu tunggu “masa yang sempurna” – kerana ia jarang wujud. Teknologi kini berada di puncak, memudahkan kita memulakan apa jua jenis perniagaan, dari kecil-kecilan hingga ke tahap yang lebih besar.
Bayangkan apa yang anda boleh capai dengan langkah pertama. Walaupun permulaannya mungkin kecil, impaknya akan besar jika diteruskan dengan betul. Lebih penting lagi, anda akan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan – sama ada dari segi ekonomi atau teknologi yang terus berkembang.
Jangan biarkan ketakutan mempengaruhi keputusan anda. Mulakan langkah pertama hari ini dan lihat bagaimana usaha anda boleh berkembang menjelang 2025. Bacalah artikel panduan kami, gunakan peluang yang ada, dan bina asas bisnes yang kukuh sekarang. Setiap bisnes besar bermula dari langkah pertama. Jadi, kenapa tidak mulakan sekarang?