Bagi pengusaha baru yang ingin menceburi bidang perniagaan, memulakan langkah pertama mungkin terasa sukar. Apatah lagi apabila memikirkan tentang kewangan perniagaan itu. Sudah pasti anda memerlukan modal yang tinggi, bukan?
Tetapi sebenarnya ia tidak semestinya begitu. Ada pelbagai cara untuk menjalankan bisnes tanpa modal dan pinjaman luar, iaitu cara Bootstrap. Tahukah anda bahawa syarikat teknologi terbesar dunia seperti Facebook, Microsoft dan lain-lain juga bermula dengan cara ini.
Jadi, jika anda ingin menjadi seorang ahli perniagaan yang hebat, anda bolehlah mencontohi mereka dengan pemikiran luar biasa (outside the box) dan kreatif. Walaupun anda bermula tangan kosong dan tiada wang sesen pun dalam poket, jangan risau. Dalam dunia online sekarang, kita boleh buat bermacam-macam cara untuk mendapatkan duit melalui online tanpa modal.
Di sini kami kongsikan beberapa tip untuk anda menjayakan bisnes secara bootstrap.
Lakukan Kaji Selidik Pasaran
Bisnes tanpa modal memerlukan pengurusan wang yang penuh disiplin kerana ianya dibiayai melalui aliran wang masuk. Jadi, sebelum berbincang tentang jenis pembiayaan perniagaan, kita harus memastikan perniagaan ini mempunyai pengaliran wang yang positif.
Jadilah seperti saintis yang sentiasa ingin tahu dan mengkaji keupayaan produk atau perkhidmatan anda untuk bertahan dalam pasaran yang ada. Hal ini akan dapat merendahkan risiko kegagalan dalam perniagaan anda di masa hadapan.
Seandainya anda berminat untuk menjual cendol, maka perkara-perkara yang harus dinilai adalah seperti lokasi yang sesuai, pemasaran yang mencukupi, dan juga permintaan cendol itu sendiri. Sedap ke untuk orang beli?
Jangan lupa juga kewangan perniagaan yang perlu dititikberatkan. Pastikan harga barangan jualan anda berpatutan disamping memperkukuhkan keuntungan perniagaan yang anda akan dapat.
Setelah perniagaan anda stabil dan aliran tunai lebih konsisten, barulah boleh mula berbincang tentang jenis-jenis pembiayaan perniagaan.
Buat Kerja Sendiri
Tanggungjawab seorang pengusaha yang memulakan bisnes tanpa modal adalah teramat berat. Oleh kerana modal perniagaan terhad, pengusaha terpaksa melakukan segalanya sendiri. Dialah yang buat pemasaran, dialah yang menjual, dialah pakar kreatif, dialah yang menguruskan kewangan.
Tapi jangan risau, dengan adanya teknologi terkini, terdapat banyak aplikasi internet yang dapat memudahkan pengurusan perniagaan anda. Kebanyakannya juga adalah percuma.
Platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram merupakan laman utama yang anda wajib kuasai. Ia dapat membantu mempromosikan bisnes anda serta berkomunikasi dengan pelanggan secara terus. Yang terbaiknya adalah ia tidak terhad kepada satu lokasi. Bermakna anda boleh buka pasaran di seluruh dunia.
Pemasaran yang kreatif sudah tentu akan berjaya menarik perhatian pelanggan. Terdapat laman sesawang seperti Canva.com yang memudahkan kerja-kerja design sesuai untuk sesiapa sahaja.
Pengurusan kewangan juga menjadi begitu mudah dengan adanya Wave Accounting iaitu software perakaunan yang percuma. Laman ini menyediakan pelbagai jenis fungsi akaun seperti buku tunai, buku lejar, invois jualan, inventori dan sebagainya bagi memudahkan anda mengesan segala aliran keluar masuk wang bisnes anda. Manfaatkan platform ini kerana terdapat banyak kelebihan jika anda memantau aliran tunai demi perkembangan perniagaan anda.
Klik-klik atau Pinjam Saja
Jika perniagaan anda memerlukan kelengkapan peralatan, jalan mudah untuk mendapatkannya dengan harga murah ialah dengan membeli secara online di laman-laman sesawang seperti Lazada, Lelong.my, dan Mudah.my.
Laman-laman ini menyediakan barangan terpakai serta barangan baru. Terdapat juga promosi yang menarik pada masa-masa tertentu yang menawarkan harga yang berpatutan.
Contohnya, anda memerlukan pengisar ais untuk membuat cendol, klik sahaja laman-laman ini dan bandingkan harga ketiga-tiga laman tersebut.
Apa lagi? Seandainya terdapat kenalan anda yang menjalankan perniagaan yang sama, pinjam daripada mereka peralatan tersebut dalam jangka masa yang pendek sehingga anda mampu membelinya.
Duit Pergi Mana?
Anda perlu ingat prinsip penting perniagaan: keuntungan syarikat adalah keuntungan syarikat, bukan anda punya. Jangan tertipu dengan nilai untung yang anda dapat! Anda perlu mengasingkan duit perbelanjaan dengan duit bisnes dengan membuka akaun berasingan untuk keduanya.
Semua keuntungan yang didapati, terutamanya bagi enam bulan pertama, sepatutnya dilaburkan semula ke dalam perniagaan anda, kerana ini adalah keutamaan bagi pemasaran, jualan dan kos untuk operasi sehinggalah bisnes anda mampu berkembang dengan kukuh.
Selain itu, lakarlah belanjawan perbelanjaan untuk memastikan aliran keluar masuk duit perbelanjaan secara bulanan dapat dikesan. Aliran tunai (cashflow) merupakan nadi sesuatu perniagaan jadi pastikan ia diutamakan. Dengan ini anda akan dapat memantau keuntungan dalam bisnes anda dengan jelas.
Berjimat, Jimat dan Jimat!
Pada permulaan, bisnes anda tak mampu nak bayar gaji anda
Memandangkan aliran tunai adalah sangat penting, jadi perlu ditekankan bahawa kunci bisnes tanpa modal adalah kebolehan anda dalam menghasilkan cashflow. Jadi kita kena faham sekiranya bisnes kita kecil sahaja, apa sahaja keuntungan tidak cukup untuk menanggung kehidupan kita sepenuhnya.
Oleh itu, menjadi kebiasaan ramai untuk memulakan perniagaan sebagai kerja sampingan, serta meneruskan kerja tetap mereka di pejabat.
Sekiranya anda membuat keputusan untuk meneruskan perniagaan ini sepenuh masa, mungkin ianya suatu idea yang bagus untuk mencari kerja sampingan bagi menambah pendapatan anda. Perkara ini penting supaya tiada tekanan kepada bisnes yang masih belum matang.
Kedengaran mustahil tapi sebenarnya tidak. Anda hanya perlu mencuba dan usahakannya.
Ingatlah pada pepatah Melayu yang mengatakan, “ringan tulang, berat perut,” bermaksud seseorang yang rajin berusaha akan mendapat banyak rezeki.
Lagi satu, anda juga perlu berjimat cermat dan seandainya anda selalu makan di kafe hipster, mungkin inilah masanya anda mengubah selera anda ke gerai-gerai makan biasa seperti di kedai mamak.
Pengorbanan yang anda buat sekarang adalah penting untuk menjamin dan memberi jalan kepada masa depan perniagaan anda supaya berkembang.