Aliran Tunai Adalah Nadi Perniagaan

Aliran Tunai (cashflow) seringkali menjadi masalah utama dalam perniagaan. Namun begitu, ramai peniaga kurang prihatin terhadap perkara ini. Tidak kiralah perniagaan itu kecil mahupun besar. Kajian mendapati bahawa 8 dalam 10 peniaga lebih mementingkan untung berbanding cashflow.

Adakah anda salah seorang daripada mereka?

Terdapat banyak kisah haru tentang perniagaan yang telah gagal akibat pengabaian aliran wang. Yang menyedihkan lagi, banyak perniagaan-perniagaan yang gagal ini berpotensi untuk menjana keuntungan tetapi terpaksa ditutup kerana kekurangan wang tunai untuk terus beroperasi.

Kajian-kajian mendapati bahawa antara faktor besar yang menyebabkan sesebuah perniagaan itu gagal atau lingkup adalah disebabkan oleh isu ‘kehabisan wang tunai’ (out-of-cash). Hal ini terjadi kerana peniaga-peniaga tidak menjaga aliran tunai mereka yang menyebabkan wang di bank berkurangan tanpa mereka sedari.

Dalam satu laporan lain, ia mengatakan bahawa cabaran terbesar berbisnes bagi usahawan ialah aliran wang (51%), diikuti oleh pemasaran (21%), pengurusan pekerja (10%) dan cabaran terakhir adalah keseimbangan antara kerja dan kehidupan/keluarga (work-leisure) (18%).

Hal ini bukan sahaja berlaku dalam pengurusan perniagaan, malah juga kewangan rumahtangga. Antara persoalan yang sering timbul adalah berapa banyak gaji yang patut disimpan tiap-tiap bulan? Sudah ternyata betapa pentingnya untuk kita memahami dan mempertikaikan aliran wang kita.

Mengapa Aliran Tunai Lebih Penting Dari Keuntungan

Jika anda menganggap akaun bank itu adalah akaun yang menunjukkan kedudukan akaun perniagaan anda, bermakna tanggapan anda salah sama sekali.

Untuk mengetahui kedudukan kewangan bagi perniagaan anda, ia memerlukan dokumen yang khas dan direkod secara berkala. Antaranya ialah akaun yang terdiri daripada imbangan duga, penyata untung rugi, serta penyata aliran tunai.

Penyata untung rugi (profit and loss statement) tidak mencatat pembayaran pokok (principal payment) yang anda buat kepada bank. Anda mungkin mendapat keuntungan yang banyak, tetapi jumlah wang yang telah dibayar kepada bank setiap bulan boleh menyebabkan anda tersasar dari jumlah belanjawan perniagaan.

Sebaliknya, penyata aliran tunai (cashflow statement) dapat memberitahu ke mana wang yang dibelanjakan pergi. Jika anda meningkatkan inventori, anda menggunakan wang tunai. Jika anda menambah kredit kepada pelanggan, anda menggunakan wang tunai. Jika anda membeli banyak peralatan, anda menggunakan wang tunai. Ketiga-tiga isu ini tidak akan muncul pada penyata untung rugi anda.

Oleh itu, rekod aliran tunai perniagaan adalah sangat penting berbanding dengan rekod untung-rugi sahaja.

Bagaimana Aliran Tunai Dapat Membantu Keputusan Pembiayaan

Membeli peralatan dan aset menggunakan wang tunai.

Menambah inventori menggunakan wang tunai.

Menambah pelanggan juga menggunakan wang tunai.

Persoalannya, apabila kita mengembangkan syarikat kita, ia bukan sama ada kita akan menggunakan wang tunai atau tidak, tetapi ia bagaimana kita akan membiayai perkembangan itu.

Kadang-kadang anda hanya akan menggunakan lebihan tunai yang disediakan dari keuntungan. Mungkin anda perlu meminjam wang dari bank. Kadang-kadang anda juga perlu mendapatkan modal luar.

Memahami di mana wang anda pergi dan bagaimana anda akan menyediakan lebih banyak wang apabila memerlukannya adalah sebahagian penting dalam menjalankan sebuah syarikat yang berjaya. Jangan menghabiskan wang tunai tanpa mengetahui mengapa.

Bagi memastikan aliran tunai perniagaan anda sentiasa berjalan lancar, anda mesti fikir: Duit masuk, dari mana? Duit keluar, untuk apa? Selepas itu, anda mesti membuat catatan atau rekod setiap wang yang masuk dan keluar.

Memahami penyata kewangan secara keseluruhan akan membolehkan anda membuat keputusan yang lebih baik dalam perniagaan. Jadi, ambil tindakan segera untuk menangani masalah aliran tunai (jika ada) dan buat perancangan supaya pengaliran tunai adalah sentiasa positif.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut cara untuk menguruskan aliran tunai anda, sila layari sme.info.com.my