Berapa Banyak Gaji Yang Patut Saya Simpan

Dalam semua perbincangan peningkatan kewangan, kita semua boleh bersetuju bahawa membuat simpanan untuk masa depan adalah sangat kritikal. Saya tahu topik ini tidak digemari oleh orang Melayu kerana kita tidak diajar untuk menabung ketika kecil.

Namun, sebagai komuniti yang semakin maju, kita perlu mengambil kira hal ini dengan lebih serius. Tetapi persoalannya: “Berapa banyak yang perlu disimpan setiap bulan?“.

Rakyat Malaysia perlu mempunyai pelan kewangan dan menguruskan pemeriksaan tahap kewangan masing-masing dengan menitik-beratkan tahap keperluan, jumlah pendapatan, dan jumlah tanggungan.

Berapa Banyak Untuk Simpanan?

Prinsip asas belanjawan adalah mengasingkan secukupnya untuk semua keperluan anda. Dalam setiap isi rumah, anda mempunyai kos tetap seperti sewa rumah, pinjaman kereta, bil-bil utiliti, dan sebagainya. Anda mungkin juga ingin menonton wayang dan makan diluar pada hujung minggu. Kesudahan yang sering terjadi, menjelang akhir bulan, apabila anda ingin menyimpan, anda tidak ada duit yang mencukupi.

Telah dilaporkan bahawa ramai graduan berhutang dengan kerajaan sebanyak RM4 bilion untuk pinjaman PTPTN mereka. Salah satu faktor utama untuk ini adalah ketidakupayaan kita untuk membuat belanjawan (bajet) dengan betul.

Untuk membantu kita mengetahui teknik penyimpanan, mari kita pelajari peraturan 50/20/30 seperti yang disarankan oleh pakar-pakar kewangan. Menurutnya, perbelanjaan bulanan anda hendaklah dibahagikan kepada tiga kategori yang berbeza:

  • 50% harus dikhaskan untuk keperluan asas (perumahan, kereta, dan makanan),
  • 20% harus diketepikan untuk obligasi kewangan (financial obligations) yang termasuk simpanan, pembayaran hutang, dana persaraan dan sebagainya.
  • 30% selebihnya adalah untuk pilihan gaya hidup (hiburan, makan luar, dan lain-lain),

Dengan mengikuti peraturan ini, semua keperluan dapat diasingkan. Anda akan mendapati wang yang cukupnya untuk semua keperluan anda.

Mengapa Perlu Ikut Peraturan 20% Ini?

Selepas peruntukan 50% untuk keperluan asas, peruntukan 20% seterusnya juga sangat penting. Ia melibatkan obligasi kewangan (financial obligations) lain seperti pembayaran kad kredit, pinjaman bank, pinjaman PTPTN, simpanan jangka panjang, dan simpanan kecemasan.

Sebenarnya, bagi kebanyakan orang, mengasingkan sekurang-kurangnya 20% daripada gaji bersih mereka ke arah obligasi kewangan sebenarnya tidak berapa sukar dan tidak membebankan.

Namun, yang menjadi masalah sebenarnya adalah apabila menolak hutang-hutang tertunggak seperti pinjaman pelajaran (PTPTN) dan baki kad kredit yang tinggi, wang untuk membuat simpanan tinggal sedikit sahaja. Jadi, apa yang berlaku adalah kegagalan untuk membuat simpanan untuk masa hadapan.

Tetapi pakar-pakar kewangan memberi amaran:

“Walaupun anda mempunyai hutang melebihi 20% daripada pendapatan bersih, anda masih perlu mencari cara untuk membuat simpanan!”

Jadi apakah cara terbaik untuk mencari keutamaan 20% dalam semua tanggungjawab kewangan anda? Ia bergantung kepada keadaan setiap individu.

Bagi yang mempunyai gaji kecil, anda boleh bermula dengan menyimpan 5% daripada gaji anda. Contohnya, kalau gaji bersih RM1500, terus ketepikan RM75 sahaja dah bagus. Sebaik-baiknya mulakan dahulu dengan seberapa yang mampu, kerana yang penting, tabiat menabung sebati dalam diri anda.

Nanti selepas membuat bajet dan pengawalan perbelanjaan, atau apabila pendapatan anda meningkat, jumlah simpanan bolehlah ditambah dari semasa ke semasa.

Bolehkah Kita Menyimpan Secukupnya? Bagaimana?

Dalam kebanyakan kes, masalah besar bukan disebabkan oleh tidak mempunyai wang untuk obligasi kewangan. Ia berkemungkinan besar bahawa anda menumpukan terlalu banyak pendapatan kepada kategori perbelanjaan yang lain.

Contohnya, jika anda mempunyai pembayaran sewa rumah yang melebihi 50%, ini merupakan perbelanjaan yang terlalu tinggi untuk pendapatan anda kerana sewa rumah merupakan perbelanjaan tetap.

Jadi, jangan berbelanja lebih dari 50% untuk rumah anda. Jika lebih, anda harus membuat perubahan besar seperti berpindah rumah ke suatu kawasan yang sewanya lebih berpatutan. Maka, anda akan bebas daripada pembayaran wang yang banyak.

Ada juga kemungkinan bahawa anda mempunyai gaya hidup yang tinggi. Biasalah, nak minum kopi hipster yang berharga RM12 secawan. Nescafe tarik di gerai tak standard. Jadi, jika ia melebihi 30% seperti yang dibincangkan di atas, ini juga harus diubah. Kena faham-faham sendiri. Memandangkan keperluan asas sebenarnya sangat rendah, anda sepatutnya dapat menurunkan perbelanjaan gaya hidup dengan mudah.

Apabila diterangkan unsur-unsur bajet yang membebankan itu dengan jelas, ia menjadi lebih mudah untuk kita membuat perubahan dan menumpukan fokus kepada kewajipan kewangan utama, iaitu simpanan untuk masa depan.

Tidak kira sama ada bajet tidak seimbang atau baru hendak naik, keperluan mencari wang untuk obligasi kewangan adalah sama. Anda perlu mengambil pandangan yang realistik terhadap perbelanjaan anda, kerana sikap buat tak tahu tidak akan membantu sesiapa pun.

Kedua, anda perlu bersedia untuk berubah. Pada masa kini, ramai yang berfikir bahawa:

Wang KWSP saya akan mencukupi.

Anak-anak akan menjaga saya.

Saya akan bermula menyimpan di kemudian hari.

Masih terlalu awal untuk mula menyimpan.

Saya berasa sukar untuk menyimpan duit.

Saya mahu berhibur dulu.

Saya masih menanggung bil-bil dan hutang.

Disebabkan pemikiran ini, ramai warga emas di Malaysia tidak mampu menanggung kos kehidupan selepas bersara. Dinasihatkan agar semua warga Malaysia, yang muda terutamanya, mengubah cara pemikiran ini belajar tentang kewangan: bagaimana untuk menyimpan bagi masa depan.

Siti Wardah

I am a linguistics student who is exploring the strange world of media (content writing). Hope everyone enjoy my writings. :)

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: