Kelebihan Bisnes Dropship Online

Susulan dari artikel sebelum ini, kita telah bincangkan tips berniaga sambil bekerja. Namun, mesti ramai yang masih tertanya-tanya bisnes apa yang nak buat? Bagaimana nak dapatkan produk dan sebagainya? Kusut kepala fikirkannya dan akhirnya tidak bermula langsung kan? Sebagai jawapan untuk kekusutan yang berlegar di kepala anda, saya sarankan anda bermula dengan bisnes online sebagai agen dropship sahaja. Bisnes dropship online merupakan antara jenis perniagaan online yang mampu menjana untung yang begitu besar jika kena dengan caranya.

Bagi mereka yang baru berjinak dengan dunia bisnes online akan bertanya apa itu dropship? Untungkah kalau berniaga dengan kaedah dropship? Secara ringkas, dropship adalah salah satu cara untuk anda memulakan bisnes tanpa modal atau dengan modal yang sangat rendah. Anda akan menjadi orang tengah antara supplier(pembekal) dan pelanggan.

Ada banyak kelebihan buat bisnes dropship untuk sesiapa saja yang baru nak mula buat bisnes. Dalam artikel ini, saya akan senaraikan beberapa kelebihan memulakan bisnes dropship online.

Tidak Perlu Modal Besar

Seperti penerangan di atas tadi, bisnes dropship boleh dijalankan tanpa mengeluarkan modal yang besar atau apa-apa modal sedikit pun. Anda mesti sangsi, kan? Mana ada benda free sekarang ni.

Hakikatnya, dengan bisnes dropship, anda sememangnya tidak perlu keluarkan modal untuk beli produk kerana tugas anda sebagai agen dropship hanya perlu mempromosikan produk milik pembekal serta mengambil pesanan dari pelanggan. Segala maklumat produk seperti gambar dan butiran produk adalah dibekalkan oleh pembekal. Anda hanya tinggal post sahaja di mana-mana marketplace.

Selain itu, ada pembekal yang tak kenakan sebarang bayaran dan ada yang kenakan yuran pendaftaran untuk anda berdaftar sebagai agen dropship mereka. Tetapi, jangan risau. Yuran itu hanya perlu dibayar sekali sahaja.

Setelah berdaftar dengan mana-mana pembekal, anda boleh mula berniaga secara online melalui laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, website peribadi, blog, atau melalui aplikasi messenger seperti Whatsapp dan Wechat. Anda boleh juga mempromosikan barang di website jual beli online seperti Carousell, Mudah.my, Lazada, Shopee, dan lain-lain. Yang penting, anda hanya perlu ada akses Internet.

Tidak Perlu Urus Stok

Sebagai agen dropship, anda tidak perlu bersusah payah dalam memikirkan proses penyimpanan stok, pembungkusan barang, dan pengiriman barang kepada pembeli kerana semua proses tersebut adalah di bawah tanggungjawab pembekal.

Ya. Anda tidak perlu menyimpan stok barang dan tidak perlu fikir pasal nak sewa gudang atau ruang untuk simpan produk. Ini kerana semua produk yang kita nak jual adalah milik pembekal. Jadi, merekalah yang akan simpan dan pantau keluar masuk stok.

Melainkan bila bisnes anda dah berkembang perlahan-lahan dan dah ada modal lebih sikit nanti, anda boleh upgrade dari agen dropship kepada stokis pula. Bila dah jadi stokis, barulah anda kena fikir tentang stok produk sebab stokis kena beli secara borong daripada pembekal. Pada tahap itu, ikutilah 5 Petua Melepasi Fasa Awal Perniagaan ini untuk mengembangkan bisnes kecil anda.

Bila stok produk pun bukan dalam hak milik anda, urusan pembungkusan dan penghantaran produk kepada pembeli juga tidak perlu dilakukan oleh anda. Tanpa perlu bersusah payah, pembekal anda yang akan menguruskan semua proses dan kos pembungkusan dan pengiriman produk. Tugas anda hanya perlu mempromosikan produk tersebut sahaja sehingga ia terjual.

Selepas mendapat pesanan, anda hanya perlu beritahu kepada pembekal bersama-sama butiran pelanggan yang ingin beli dengan anda. Selepas itu, pembekal yang akan membuat penghantaran terus kepada pelanggan tersebut. Sekarang anda dah boleh nampak sikit-sikit kan proses buat bisnes dropship macam mana? Mudah kan?

Tidak Perlu Tanggung Risiko

Kebanyakan bisnes lain, anda perlukan modal permulaan yang besar dan sekiranya produk anda tidak terjual, anda akan tanggung kerugian. Kesudahannya, produk melebihi tarikh luput dan anda pun mula patah semangat.

Namun, disebabkan bisnes dropship tidak memerlukan modal, tiada isu modal hangus yang perlu ditanggung oleh anda. Anda juga tidak terbeban dengan risiko kekurangan duit untuk membuat pusingan modal kerana anda hanya membayar apa yang anda jual.

Apabila memegang stok, terdapat banyak tekanan kepada penjual untuk menghabiskan stok tersebut. Tetapi, sebagai seorang dropshipper, anda tidak perlu menyimpan stok dan tidak akan menanggung kerugian sekiranya produk tidak laku dijual. Ini kerana, produk adalah milik pembekal dan anda hanya memesan barang selepas bayaran diterima daripada pelanggan.

Tambahan lagi, sekiranya anda mendapati produk yang anda jual tidak mendapat sambutan, anda bebas untuk menukar stok mengikut kehendak anda supaya selari dengan tuntutan pelanggan. Dropshipping juga membolehkan anda menguji item baru tanpa risiko membawa stok. Jadi tak salah mencuba kan?

Jadi, bagi siapa yang ingin menjana pendapatan sampingan, bisnes dropship ini merupakan pilihan yang tepat. Dengan meluangkan masa beberapa jam sehari di depan komputer, tidak mustahil anda mampu untuk mencecah jualan 4 angka sekiranya anda memilih lubuk dropship yang betul.

Siti Wardah

I am a linguistics student who is exploring the strange world of media (content writing). Hope everyone enjoy my writings. :)

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: