5 Tips Berniaga Sambil Bekerja

Dalam keadaan ekonomi yang huru-hara kini, ramai orang yang bekerja sepenuh masa memasang cita-cita untuk memulakan perniagaan sendiri. Walaupun ini sesuatu yang digalakkan, janganlah tergopoh-gapah berhenti kerja kerana menurut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lebih 50% bisnes baru gagal bagi tahun-tahun pertama. Banyak selok-belok perniagaan yang harus dipelajari dulu. Jadi, mulalah dengan bisnes sampingan (part-time) dahulu.

Ada pekerja tetap yang mahu mencari pendapatan tambahan. Ada juga orang yang mahu memulakan bisnes tetapi belum bersedia. Namun, harus diingat bahawa bukan semua kerja sesuai dilakukan secara sambilan.

Di sini, kami sediakan beberapa tips untuk memulakan bisnes sampingan.

1. Pilih Bisnes Yang Sesuai

Tanggungjawab peniaga baru sangatlah besar terutamanya bila buat bisnes sampingan sambil bekerja. Jadi, sebelum bermula, fikir dulu – bisnes apa yang sesuai dengan anda? Caranya, pilih bisnes yang tidak mengganggu kerja, modal kecil, dan ada minat.

Kalau ada modal kecil dan masa yang singkat, mulakan perniagaan online dulu. Dengan adanya marketplace seperti Shopee, Mudah.my, Carousell, Lazada ia membawa kelebihan untuk kita berniaga. Jika tiada produk sendiri pun, mungkin boleh mencuba dropship. Kalau anda berbakat dalam rekaan atau menulis, boleh mencuba jadi freelancer yang berjaya.

Laman media sosial yang lain juga seperti Facebook dan Instagram sangat sesuai untuk menjual beli barangan dan perkhidmatan anda.

Dengan hanya alat-alat teknologi, anda berpotensi untuk membuat banyak duit tanpa bergerak dari kerusi ofis anda.

2. Curi Masa

Setiap orang ada masa 24 jam sehari. Ada yang manfaatkan waktu ini sehingga menjadi jutawan, dan ada pula yang pilih untuk goyang kaki sehingga poket kering. Anda nak pilih yang mana?

Pengurusan masa adalah kunci kejayaan. Ramai yang bagi alasan, “kerja saya banyak, jadi tiada masa untuk urus bisnes”. Sememangnya bekerja dan berniaga dalam masa 24 jam adalah perkara sangat mencabar. Maka di sini, tip pertama tadi sangat memainkan peranan, anda perlu pilih bisnes yang sesuai dengan masa yang terhad. Kebolehan anda membahagikan masa antara kerja dan bisnes akan membawa kejayaan.

Sudah pasti, untuk menjadi peniaga yang berjaya, anda perlu korbankan waktu rehat dan tidur. Curi masa rehat tengah hari anda sejam, untuk update bisnes anda dan boleh juga berjumpa dengan pelanggan.

Kalau anda berniaga online, waktu malamlah waktu yang sesuai untuk anda cek balik order dan pertanyaan yang anda terima. Jika orang lain tidur pukul 10 malam, anda perlu stay up sedikit untuk fokus kepada bisnes.

Tetapi, harus diingat, jangan pula anda gunakan waktu kerja untuk buat bisnes. Tak berkat gaji yang anda dapat nanti.

3. Tetapkan Modal Perniagaan

Berapa banyak duit yang anda ada untuk dilaburkan ke dalam perniagaan baru anda? Mungkin modal ada sedikit atau tiada modal langsung.

Oleh kerana anda masih mendapat gaji dari kerja tetap anda, mungkin anda boleh guna sebahagian daripadanya untuk buat modal bisnes. Kumpul duit gaji bulanan sikit-sikit sehingga cukup, barulah mulakan bisnes.

Sebagai bisnes baru, baik gunakan duit di tangan untuk dijadikan modal. Elakkan daripada membuat pinjaman pada peringkat awal bisnes kerana perniagaan kecil tidak dapat menampung kos hutang. Sebaliknya, anda boleh buat bisnes tanpa modal dengan cara bootstrap.

Sekiranya anda tiada modal, mungkin anda boleh cuba menjadi agen, stokis, atau dropship bagi perniagaan lain dahulu. Disebabkan ia perniagaan yang sedia ada, ia tidak memerlukan modal dan tidak perlu kepada penyimpanan barang. Perniagaan jenis ini merupakan cara paling mudah untuk menjana pendapatan sampingan.

4. Tetapkan Jangkaan

Kini, anda sudah mendapat idea bisnes yang sesuai, berdasarkan masa dan modal yang ada. Mari kita bincang pula tentang expectation (jangkaan).

Mempunyai pekerjaan tetap adalah masa yang terbaik untuk meneroka pasaran dan mencuba produk anda kerana anda dijamin oleh pendapatan bulanan. Justeru, tiada kekangan kewangan ke atas bisnes baru anda untuk menjana duit serta-merta.

Ini adalah masa untuk anda mencuba produk untuk melihat mana yang paling popular dan juga untuk melihat pasaran yang sesuai. Bagi mereka yang baru nak bermula, ini merupakan cara permulaan yang bagus.

Namun, anda harus ingat, buat bisnes sampingan, duit yang anda dapat pun separuh. Jika anda mempunyai jangkaan yang realistik, perniagaan sampingan ini boleh digunakan untuk menambah pendapatan anda.

Contohnya, anda ingin bercuti ke Eropah dengan bajet 10 ribu ringgit, maka anda boleh mengumpul duit hasil dari bisnes sampingan untuk menjayakan hasrat anda. Tapi ingat, untuk capai jumlah yang besar itu, jangkaan masa bisnes anda juga mestilah lama.

Bagi mencapai sesuatu jangkaan bisnes, anda perlulah belajar menguruskan akaun perniagaan dengan betul. Kalau tidak, untung tak dapat, duit modal pun entah ke mana. Walaupun sekecil mana bisnes yang dilakukan, anda mesti rekod aliran keluar masuk duit bisnes kerana aliran tunai adalah nadi perniagaan.

5. Kuatkan Fizikal dan Mental

Bekerja dan berbisnes dalam masa 24 jam adalah sangat memenatkan, dan anda pasti akan mendapat tekanan fizikal dan mental.

Selepas menghabiskan masa yang banyak untuk memperkenalkan produk anda, namun sambutan yang didapati tidak memberangsangkan. Sudah pastinya anda akan merasa kecewa. Tapi, tak apa. Ini sebenarnya kelebihan menjalankan bisnes sambilan. Anda ada masa untuk mengembangkan jenama anda serta mengeratkan hubungan dengan pelanggan anda. Lama kelamaan, mereka akan menjadi penyokong terbesar anda. Lihat dari perspektif yang baik.

Mempunyai kesabaran adalah penting untuk mengekalkan pemikiran yang sihat terhadap bisnes. Kita tidak boleh mengharapkan sensasi dalam masa semalaman. Perkara sebegitu tidak wujud. Sebaliknya, kejayaan memakan masa. Jangan mudah mengalah! Penuhi fikiran anda dengan perkara-perkara positif seperti mendengar dari pakar-pakar perniagaan dan mentor-mentor lain dalam YouTube atau podcast.

Akhir sekali, jangan lupa untuk bersenang-senang. Seperti yang dikatakan sebelum ini, pengurusan masa adalah sangat penting. Sebahagiannya perlu diperuntukkan untuk riadah dan hiburan. Luangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan juga. Jangan terlepas sesi futsal bersama anak-anak lelaki anda.

Jika fizikal dan mental anda tidak kuat, anda mungkin akan tersungkur di awal hari. Janganlah tumpukan masa kepada bisnes sahaja. Berilah masa untuk badan dan minda anda rehat. Kalau lapar, makan. Kalau letih, rehat. Kalau stress, kongsilah dengan sesiapa. Mudah bukan?

 

Siti Wardah

I am a linguistics student who is exploring the strange world of media (content writing). Hope everyone enjoy my writings. :)

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: