Bagaimana Untuk Menjadi Freelancer Berjaya

Setiap orang pasti teringin bergoyang kaki sambil mendapat pendapatan yang lumayan. Inilah yang biasa dipaparkan di media sosial apabila sebutnya freelance. Namun realitinya jauh beza dari gambaran ini. Tanpa sistem atau sokongan daripada organisasi, ahli freelancer boleh rasa terumbang-ambing.

Tetapi jangan risau, ada caranya untuk menjadi pekerja bebas yang berjaya. Di sini kami berkongsi tip-tip terbaik.

Uruskan masa dengan lebih teratur

Mendisiplin serta memotivasikan diri sendiri bukanlah perkara yang mudah untuk dikekalkan. Seandainya kedua-dua elemen ini rapuh, kemungkinan untuk suatu kerja itu terlepas dari tangan atau tidak dapat memenuhi tempoh masa kerja yang ditetapkan amat besar. Oleh itu, perkara pertama yang perlu dititikberatkan ialah untuk menjaga masa bekerja dengan teratur.

Langkah pertama adalah untuk menyediakan jadual kerja yang realistik dan mudah untuk dipatuhi. Tak kira sama ada ruang kerja di rumah, kafe atau ofis berkongsi (co-working office) seperti ThePejabat, pastikan masa untuk berkerja dan masa peribadi diasingkan.

Setelah waktu bekerja terkawal, catatkan masa yang diperlukan untuk menyelesaikan satu projek. Anggaran ini harus untuk menganggar masa yang perlu disediakan untuk menyelesaikan setiap projek yang lain.  

Bagaimana untuk mencari kerja freelance

Terdapat beberapa laman sesawang yang berkaitan dengan freelance sebagai contoh Fiverr mahupun Freelancer.com. Mulakan dengan mendaftarkan diri di laman sesawang ini kerana ianya membolehkan majikan memaparkan kerja yang ingin ditawarkan dan untuk seorang freelance, anda boleh menawarkan harga bagi pihak majikan untuk bersetuju dengan nilai tersebut. Terdapat juga sevis lokal seperti Kaodim dan ServisHero yang membolehkan anda mengiklankan khidmat-khidmat freelance berdasarkan kebolehan anda. Kelebihan laman web ini ialah ianya akan memadankan kesesuaian kemahiran anda bagi klien yang mencari khidmat-khidmat yang tertentu.

Tetapan harga dengan pelanggan

Jangan rendahkan harga semata-mata untuk mendapatkan sesuatu kerja, kemudian menaikkan harga setelah berjaya mendapatkan tawaran tersebut. Berikan harga dengan berdasarkan harga pasaran dan pastikan ia berpatutan dengan jenis pelanggan.

Jika kualiti kerja anda bermutu, klien tidak akan mengeluh tentang harga. Fokuskan tenaga anda pada perkhidmatan yang diberi. Anda akan pasti mendapat pelanggan yang tetap.

Setelah reputasi dan hubungan dengan pelanggan sudah kukuh, mungkin anda boleh menawarkan harga asas untuk suatu kerja dan menambah beberapa kos tambahan berdasarkan kerumitan dan masa yang diperuntukkan untuk menyudahkan kerja tersebut. Jangan lupa untuk ‘menyiasat’ berapa harga pasaran yang ditawarkan oleh freelance lain untuk membandingkan harga perkhidmatan yang ditawarkan.

Lindungi hak anda sebagai seorang freelancer

Menghadapi masalah dalam proses mendapatkan bayaran penuh mahupun mendapatkan maklumat terperinci sesuatu kerja daripada klien adalah lumrah bagi seorang freelance. Seandainya perkara yang tidak diingini berlaku, anda perlu bersedia dengan dokumen hitam putih yang pernah dipersetujui oleh anda dan klien.

Pastikan sentiasa ada salinan semua perbualan samaada melalui email, pesanan ringkas dalam telefon bimbit atau media social. Semua ini adalah untuk melindungi hak anda sekiranya anda dianiaya!   

Bijak menguruskan gaji

Anda perlu faham bahawa dengan menjadi seorang freelancer, anda tidak sama seperti pekerja tetap yang lain yang menerima gaji tetap setiap bulan. Hal ini kerana, anda mungkin akan menerima durian runtuh pada bulan ini tetapi tidak pada bulan hadapan. Oleh itu, anda perlu bijak dan menjadi lebih berdisiplin dalam pengurusan wang.

Antara langkah yang perlu diambil ialah dengan melakar belanjawan perbelanjaan terlebih dahulu. Dengan belanjawan ini, anda akan dapat memastikan aliran keluar masuk duit perbelanjaan anda secara bulanan. Kedua, pastikan anda mengasingkan duit perbelanjaan dengan duit simpanan untuk kegunaan masa hadapan atau kecemasan. Dengan melakukan perkara ini, ianya akan dapat membantu anda menghadapi bulan-bulan sukar jikalau tawaran kerja berkurangan. Jadi anda perlulah bijak dalam meguruskan gaji anda.

Untuk mencapai tahap stabil bukanlah suatu perkara yang mudah bagi seorang freelancer. Akan tetapi, sekiranya anda mampu untuk menangani dan menepis masalah-masalah yang mungkin hadir ketika anda melakukan kerja freelance, maka anda akan sukses dalam bidang freelance ini dengan mudahnya.

Selamat mencuba dan selamat maju jaya!

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: