Bagaimana Nak Bermula Bisnes Sambil Bekerja

  • Setiap orang teringin nak bermula bisnes tetapi atas beberapa sebab, impian ini tak tercapai.
  • Ia lebih baik untuk bermula bisnes secara perlahan-lahan sambil bekerja untuk memastikan kestabilan kewangan.
  • Untuk berjaya dalam bisnes, konsistensi adalah utama.
  • Memulakan bisnes secara ‘part-time’ memberi masa untuk mencapai network klien dan supplier tanpa risiko kewangan yang tinggi.

Kita sering mendengar, “kejar impian anda”. Tetapi, apakah yang dimaksudkan sebenarnya? Kajian telah menunjukkan bahawa pemikiran ‘mengejar impian sudah tidak boleh pakai. Ini adalah kerana realiti sekarang tidak akan membenarkan anda untuk berbuat demikian.

Jadi, bolehkah kita hidup hari ini  dengan memiliki ekonomi yang stabil tetapi masih dapat mengejar impian kita?  Percaya atau tidak, Imran Zainal mampu melakukannya.

Imran Zainal telah memberikan nafas baru kepada perabot lama pelanggannya sejak tahun 2016. Tahun dimana beliau memulakan perniagaan perabot upcycle (kitar semula) dan rekaan dalaman yang bernama Imran’s Ark.  Beliau meninggalkan kerjayanya di dalam dunia korporat untuk mengejar impian beliau. Mari kita lihat temubual penuh bersama beliau.

Temubual bersama Encik Imran ini banyak berkisar tentang pengalaman beliau mencari dan membuktikan impian beliau sehingga berjaya. Jadi ia membuatkan saya terfikir, perlu ke kita penuhi impian dalam kerjaya?

Bayangkan jika anda seorang yang aktif bersosial, adakah anda mampu bertahan bekerja di makmal melakukan eksperimen? Ataupun jika anda seorang yang menyukai seni kreatif, bolehkah anda bekerja sebagai akauntan yang hari-hari terlibat dengan angka dan pengiraan? Ya. Anda mungkin boleh melakukannya, tetapi, dengan rasa terbeban. Namun, dengan melakukan apa yang anda impikan pasti akan membuatkan anda berasa lebih gembira.

Malahan ramai tokoh usahawan di luar sana berhasil menjadi kaya dan berjaya dengan mengusahakan impian mereka dengan sepenuhnya dan menggabungkannya dengan bidang perniagaan. Seperti tetamu kita, Encik Imran yang menjadikan minat  reka bentuk dalaman (interior design) beliau sebagai suatu perniagaan perabot upcycle.

Menurut input yang beliau kongsikan, berikut adalah panduan bagaimana anda dapat mengejar impian disamping mendapat kejayaan.

Kenalpasti Impian dan Bakat Anda

Mungkin kebanyakan kita mahir dalam melakukan sesuatu kerana telah diajar atau melihat orang lain melakukannya.  Tapi, adakah kita melakukannya kerana minat atau terpaksa? Jadi, fikir dulu sejenak.

Tidak dapat dinafikan bahawa kita tidak boleh memilih kerja sekarang. Namun, kita perlu fikir adakah kita mampu bertahan jika kita tidak bahagia dalam proses melakukan kerja tersebut. Jadi, saya sarankan sebelum anda memilih bidang kerjaya, pastikan kenalpasti dulu impian anda.

Namun begitu, kita sering menukar minat dan impian kita. Jadi, anda mesti tertanya-tanya, bagaimana nak pastikan impian anda yang sebenar? Menurut Imran, ia adalah apabila anda mempunyai minat, pengetahuan dan kemahiran, serta boleh mengajar orang lain. Barulah anda boleh kata, “itulah impian saya.”

Kalau ada impian, tapi kalau tidak tahu untuk melakukannya, tiada guna kan. Jadi, jangan hanya bergantung kepada minat sahaja, anda perlu asah bakat anda dalam bidang tersebut dengan belajar dan mendalami kemahiran yang diperlukan.  Belajar dari orang yang lebih arif, beli buku, buat kajian, dan buat percubaan.

Seperti Imran Zainal, beliau berkata bahawa impian untuk menceburi bidang seni sudah ada sejak sekolah tetapi tidak pernah terfikir untuk melaksanakan impian tersebut. Setelah bekerja di dalam bidang korporat, beliau mendapati hidup beliau penuh dengan tekanan dan tidak bahagia.

Lalu, beliau membuat keputusan besar untuk bertukar kepada bidang rekaan dalaman dan mula belajar seni-seni lukisan dan rekaan.

Buktikan Impian Anda

Saya pasti akan ada yang tidak menyokong jika kita ingin mengejar impian berbanding kerjaya yang stabil kerana tidak semua kerjaya pilihan yang kita impikan akan diterima keluarga.  Ibu bapa mana sanggup melihat anaknya bersusah payah semata-mata untuk kejar impian yang belum tentu pasti masa depannya.

Bukan angan-angan Mat Jenin

Bab kata orang tua-tua, angan-angan Mat Jenin tidak akan jadi nyata. Oleh itu, anda perlu buktikan bahawa impian itu bukan angan-angan semata-mata dan mampu untuk membuatkan anda berjaya.

Caranya adalah dengan merealisasikan impian tersebut menjadi kenyataan. Jika impian anda ingin bermula bisnes, anda perlu tubuhkan perusahaan. Jika anda ingin menjadi selebriti, anda perlu muncul di YouTube, mendapat ramai ‘followers’ seperti Aiman Azlan. Mana tau, satu hari anda berjaya berada di kaca televisyen.

Apabila usaha anda dapat dizahirkan, barulah orang akan percaya dengan anda. Tambahan lagi jika usaha itu membuahkan hasil yang baik.

Imran Zainal juga telah membuktikan kepada orang ramai bahawa impian untuk melakukan perkhidmatan upcycle perabot  adalah keputusan yang tepat. Setelah menceburi bidang ini, beliau berjaya membuka mata orang ramai tentang nilai sebenar perabot-perabot lama lalu menjadikan perkhidmatan beliau mendapat permintaan ramai. Keluarga beliau juga gembira melihat pencapaian beliau sekarang.

Tetapkan Mindset

Dalam proses membuktikan impian anda, mempunyai mindset (tetapan minda) yang jelas penting untuk menjadikan anda seorang yang berjaya. Jenis tetapan yang anda buat pada minda anda, itulah yang akan jadi realiti. Contohnya, jika mindset anda rajin, anda akan jadi rajin, dan jika malas, anda pun akan jadi malas. Dalam erti kata lain, mindset membentuk sikap anda.

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang cara otak kita berfikir, anda mungkin ingin tahu tentang topi-topi pemikiran manusia.

Untuk berjaya, anda perlu beranikan diri untuk tetapkan matlamat yang relevan – jangan terlalu rendah dan jangan pula terlalu tinggi sehingga membebankan diri. Selepas itu, cuba capai matlamat itu satu persatu.

Seperti Imran Zainal, dia bersikap rasional dan praktikal dalam mencapai impiannya dengan memiliki mindset ‘mulakan dari kecil dahulu’. Disebabkan memiliki modal yang kecil, beliau bermula dengan melakukan perkhidmatan menaik taraf perabot lama menggunakan unsur geometrik. Perlahan-lahan, perkhidmatan beliau semakin banyak mendapat permintaan.

Namun, bagi anda yang baru bermula bisnes, jangan mengharapkan keputusan yang cepat dan bersabarlah dalam mengejar impian. Percaya pada kemampuan diri dan walaupun matlamat tidak tercapai 100%, sekurang-kurangnya anda telah berkembang dan berjaya ke hadapan berbanding anda yang dulu.

Siapa kata anda dah berjaya? Anda mesti ingat, anda tidak akan berjaya jika anda kekal di zon selesa.  Sedangkan sejak kecil kita telah jatuh berkali-kali ketika mula meniarap, merangkak, dan  berjalan. Samalah juga dalam perkara lain. Perlukan masa, percubaan, dan penambahbaikan dalam sesuatu perkara yang kita inginkan. Kejar impian anda dan kecapi kejayaan sendiri.