Seringkali kita mendengar bahawa orang yang berjaya sudah tentu memiliki gaji yang lumayan, kereta mewah serta rumah yang besar. Gambaran orang berjaya adalah Jalaluddin Hassan di televisyen yang sentiasa berlakon sebagai seorang Datuk yang berjaya.
Tetapi ramai yang tidak berkemampuan bahkan tak berminat pun untuk mengikuti jejak itu. Betul ke dengan memiliki semua ini seseorang akan dianggap sebagai orang yang berjaya? Adakah ini definisi ‘kejayaan‘ sebenar? Ramai je orang yang kaya raya tetapi sentiasa stress, keluarga tunggan tebalik, dan langsung tidak bahagia.
Bagaimana pula dengan rakan kita yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa demi menjaga anak-anak lalu meletakkan titik noktah pada kerjayanya? Adakah dia dianggap tidak berjaya? Jadi apa sebenarnya yang didefinisikan dengan kejayaan atau success?
Hakikatnya, kita perlu tentukan sendiri apakah erti kejayaan buat diri kita.
Apa Kejayaan Aku?
Definisi kejayaan bagi setiap orang berbeza
Manusia pelbagai ragam. Semestinya, apa yang dianggap sebagai kejayaan bagi seorang berbeza dari yang lain. Kejayaan itu merupakan pencapaian tujuan seseorang.
Jadi, bagi seorang ketua keluarga, dia menganggap dia sudah berjaya seandainya mampu membesarkan anak-anaknya dengan menyediakan kelengkapan hidup yang sempurna dari pelbagai sudut seperti menyediakan pendidikan terutama didikan agama. Dia juga seorang yang berjaya apabila dapat memenuhi tanggungjawab dan mempunyai kewangan yang stabil untuk menampung keluarganya.
Kejayaan seorang guru datang dari anak-anak murid mereka. Apabila pelajar dapat menambahbaik prestasi pembelajaran serta dapat memahami pelajaran yang mereka ajar. Mungkin kejayaan itu juga menulis jurnal atau melakukan kajian yang akan dapat memanfaatkan murid serta warga akademik lain.
Terdapat banyak bentuk kejayaan yang dapat ditaksirkan oleh seseorang, mengikut perspektif hidup mahupun kerjaya mereka. Kejayaan seseorang itu akan membawa rasa puas hati dan kebahagaian yang sangat tinggi, tiada mata wang dapat menilainya.
Kehidupan Yang Seimbang
Tidak dapat disangkal bahawa duit adalah salah satu tanda kejayaan. Ramai yang bekerja keras membina perniagaan ataupun menaiki tangga korporat masing-masing. Sudah tentu kewangan membawa kesenangan dan keselesaan. Jika dibawa dengan keseimbangan, ini akan membawa kebahagiaan diri dan juga sekeluarga.
Sebagai pengusaha mahupun pekerja lain, memiliki cita-cita penting untuk menujukan kita ke paras yang lebih tinggi. Ada masanya kita dalam kesibukan sehingga terpaksa berkompromi waktu bersama keluarga dan rakan-rakan. Ada masanya kita terpaksa bersaing dengan syarikat lain untuk mendapatkan projek baru.
Ini adalah biasa.
Tetapi, ingat pada keseimbangan. Jangan oleh kerana terkejar sangat cita-cita kita sehingga terlepas kawalan. Pastikan kita tidak kompromi kejujuran. Pastikan kita ‘bayar balik‘ waktu hilang bersama keluarga.
InshaAllah dengan adanya keseimbangan hidup, kita akan berjaya.
Duit Bukanlah Segalanya
Tidak dapat disangkal bahawa duit adalah salah satu tanda kejayaan. Tetapi bukan hanya duit sahaja yang menjadi tandanya. Jangan risau jika definisi kejayaan adalah berbeza dengan kejayaan orang lain. Kebahagiaan adalah pada diri sendiri dan bukan untuk kepuasan jiran atau orang kampung.
Kadang-kadang kita pandang kejayaan sebagai satu permainan yang perlu dimenangi dengan memperolehi nilai skor yang banyak. Ramai yang menganggap kejayaan bermaksud mempunyai kerjaya yang hebat, ada koleksi kereta mewah serta gajet canggih, berkahwin serta mempunyai anak. Benarkah begitu?
Kerjaya serta keluarga anda memang sesuatu yang penting. Tetapi kita tidak boleh mengukur kejayaan orang lain dengan perkara yang sama. Bagaimana dengan orang yang belum berumah tangga mahupun yang masih terkapai-kapai mencari kerja tetap dengan gaji lumayan? Adakah mereka orang yang gagal? Sudah tentu tidak! Apa yang ingin ditekankan ialah definisi kejayaan mereka mungkin tak sesuai dengan kita.
Kebenarannya, kita sentiasa terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat dan bersetuju dengan definisi orang tentang ‘kejayaan’. Lebih baik kita jadi diri sendiri dan mentafsir sendiri apa maksud kejayaan tanpa perlu ikut piawaian orang.
Biasa lah. Lain orang, lain caranya. Citarasa serta impian setiap orang juga mesti berbeza. Jadi, kenapa perlu mengikut jejak orang lain?
Kejayaan Itu Adalah…
Justeru, apa itu success sebenarnya? Di sini boleh disimpulkan bahawa tiada definisi yang tetap bagi maksud ‘kejayaan’. Ianya flexible. Bagaimana kita menjalani kehidupan terbaik adalah berkaitan dengan kejayaan yang akan kita capai serta apa yang kita sendiri takrifkan tentang ‘kejayaan’ adalah kejayaan sebenar milik kita.
Perjalanan yang perlu dilalui untuk menggapai keinginan itulah yang perlu kita hargai dan cara terbaik untuk mengecapinya ialah apabila kita mengikut dan mengenal kemampuan diri. Maka, untuk ukur kejayaan, kita perlu mengenalpasti apa perkara paling penting dalam hidup kita.
Kesimpulannya, definisi kejayaan berbeza mengikut fahaman masing-masing. Tapi suatu yang pasti, bukankah kejayaan sebenar dalam hidup ialah apabila kita berjaya patuh dengan perintah Tuhan?
Fikirkan sejenak tentangnya.