6 Topi Pemikiran Untuk Membuat Keputusan Yang Lebih Efektif

“Nak makan kat mana?”. Ini antara masalah dunia yang dihadapi oleh pasangan-pasangan mahupun kumpulan sahabat. Membuat keputusan merupakan salah satu perakara yang sangat menjengkelkan. Kerana apa? Kerana naluri kita sebagai manusia yang tidak mahu melakukan kesilapan.

Namun, jika persoalan yang difikirkan dan dibincangkan adalah semudah atau sepicis “Nak makan kat mana?” mungkin impaknya tidak begitu teruk terhadap kehidupan kita. Akan tetapi cuba fikirkan jika ia melibatkan masa hadapan kita? Masa hadapan syarikat kita? Dapatkah kita lari dengan hanya membuat keputusan apa yang terlintas di fikiran?  

Sekiranya kita terlalu mudah untuk membuat keputusan, kita mungkin anda terdedah kepada risiko-risiko tertentu yang tidak difikir secara masak-masak. Namun, sekiranya kita terlalu paranoid dan berhati-hati kita mungkin akan terlepas peluang keemasan dek kerana keputusan yang kita lakukan.

Tahukah anda keputsan yang baik dilakukan dengan mengubah cara kita berfikir dan melihat sesuatu perakara atau masalah daripada pelbagai sudut. Persoalan yang timbul disini apakah sudut-sudut pemikiran yang harus kita pertimbangkan dalam melakukan keputusan yang lebih baik dan efektif?

Jawapannya telah dikemukan oleh Edward de Bono. De Bono merupakan seorang doktor, ahli psikologi, ahli falsafah, pengarang, pencipta dan perunding yang telah mengasaskan terma lateral thinking dan penulis buku 6 Thinking Hats.

6 Thinking Hats merupakan satu sistem pemikiran yang direka oleh De Bono sebagai alat perbincangan berkumpulan atau berfikir untuk menyelesaikan masalah melalui 6 perspektif utama. Dengan cara ini perbincangan dapat dilaksanakan dengan lebih terpeinci dan berstruktur sekali gus dapat membantu untuk mencapai keputusan yang lebih efektif.

Mengapa 6 Topi Pemikiran

Sistem pemikiran ini  boleh membantu anda untuk melihat sesuatu masalah dari perspektif yang berbeza. Masalah itu dilihati dari satu perspektif  demi satu perspektif, untuk mengelakkan kekeliruan akibat terlalu banyak berfikir daripada pelbagai sudut.

Ini jangan dikelirukan dengan jenis topi yang dipakai oleh usahawan.

De Bono telah membezakan enam kerangka minda yang berbeza di mana otak kita dapat menjadi lebih sensitif. Setiap kerangka minda ini boleh didapati di dalam otak dan membentuk pemikiran sedar untuk aspek-aspek tertentu mengenai isu-isu yang sedang dibincangkan.

Melalui cara ini 6 Thinking Hats memaksa kita untuk berfikir di luar gaya pemikiran yang biasa kita gunakan. Dengan melihat sesuatu masalah daripada satu perspektif secara fokus kita dapat menilai, meneliti dan memberi pendapat yang lebih baik terhadap masalah yang dibincangkan. Hal ini menyebabkan pandangan yang lebih bulat dapat dikeluarkan untuk menangani masalah tersebut.

6 Topi Pemikiran

6 Kerangka minda yang telah dikenal pasti oleh De Bono telah diterjemahkan dalam bentuk 6 Topi Pemikiran dan setiap topi mempunyai warna yang berbeza. Berikut adalah penjelasan berkenaan 6 Topi Pemikiran yang dinyatakan:

Topi Putih

Dengan topi putih, perbincangan memberi tumpuan kepada data dan fakta yang ada. Lihat kepada maklumat yang anda ada, analisa maklumat masa lalu, dan lihat apa yang anda boleh dipelajari daripadanya. Analisis dan perbincangan hanyalah bertumpu kepada fakta, data dan ilmu yang ada.

Topi Merah

Melalui topi merah,, anda melihat masalah menggunakan intuisi, naluri hati, dan emosi. Perbincangan dan analisis melalui topi merah ini hanya bertumpu kepada naluri dan perasaan. Fikirkan juga, apa yang akan dirasai oleh orang lain dan cuba memahami perasaan mereka. Dalam topi merah ini anda tidak perlu jadi rasional. Apa yang penting adalah empati dan perasaan yang akan terhasil sekiranya sesuatu keputusan itu dibuat. Cuba memahami tanggapan orang yang tidak mengetahui sepenuhnya alasan anda.

Topi Hitam

Semuanya berkaitan dengan pengurusan risiko. Melalui topi hitam, kita melihat sesuatu masalah itu dalam perspektif yang negatif. Apakah masalah yang bakal timbul? Apakah kesalahan yang mungkin terjadi? Hal ini adalah penting kerana ia adalah proses mengenal pasti kelemahan kepada keputusan atau perancangan kita dan sekali gus dapat membantu kita untuk memperkukuhkan perancagan dan keputusan yang bakal dilakukan.

Topi Kuning

Jika topi hitam semuanya yang negatif, topi kuning ini membantu anda berfikir secara positif. Ia adalah pandangan yang optimis yang membantu anda melihat semua manfaat keputusan dan nilai di dalamnya. Pemikiran melalui topi kuning ini membantu anda untuk terus berjalan apabila semuanya kelihatan suram dan sukar. Ia juga akan menjadi penanda aras dan tujuan yang hendak dicapai  kepada anda dalam melaksanakan keputusan yang telah dibuat.

Topi Hijau

Topi hijau mewakili kreativiti. Melalui pemikiran topi hijau kita mampu untuk memikirkan tentang cara yang kreatif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi tanpa perlu memikirkan halangan atau pun kekurangan sumber yang bakal dihadapi. Melalui cara ini, kita akan membuka peluang yang lebih luas dalam mencari keputusan atau pun menghadapi masalah.

Topi Biru

Topi Biru digunakan untuk menguruskan proses pemikiran. Ia adalah mekanisma kawalan untuk memastikan garis panduan Six Thinking Hats dipatuhi. Selalunya ia akan dipakai oleh pengerusi mesyuarat atau ketua pasukan anda. Pemakai topi biru ini selalunya akan memikirkan bagaimana mesyuarat atau perbincangan  akan dijalankan dan membangunkan matlamat dan objektif kepada sesuatu mesyuarat atau perbincangan yang dilaksanakan.

Kesimpulan

6 Thinking Hats ini merupakan alat pemikiran yang sangat hebat terutama sekali dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Ia membuka ruang kepada kita untuk melihat sesuatu masalah itu daripada pelbagai sudut yang berbeza.

Ia membolehkan emosi dan keraguan dibawa dalam pertimbangan kita untuk mencapai sesuatu keputusan atau menyelesaikan masalah. Hal ini berbeza kerana secara lazimnya proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah ada proses yang terlalu rasional dan idealistik tanpa memikirkan emosi dan keraguan.

Dengan mempertimbangkan sesuatu keputusan atau masalah secara rasional, emosi dan prasangaka, ia membuka peluang untuk kita menyelesaikan masalah dan mencapai keputusan dengan kreativitidan efektif.

Keputusan yang dibuat menggunakan teknik 6 Thinking Hats boleh menjadi lebih kukuh  dan dinamik. Ia juga boleh membantu kita untuk mengelakkan kemungkinan yang tidak dijangka sebelum membuat keputusan.

Cubalah laksanakan perakara ini dalam perbincangan harian anda. Lihat perbezaannya dan kongsikan bersama kami.