Kehebatan Orang Kelantan Berniaga

  • Orang Kelantan bersifat suka berhijrah. Kedai orang Kelantan biasa dijumpai di seluruh negara.
  • Pengusaha Kelantan biasanya melibat diri dalam bidang makanan, namun juga berjaya dalam pelbagai jenis industri lain.

Orang Kelantan memang sangat terkenal dengan berniaga dan berhijrah. Anda boleh lihat betapa ramai orang Kelantan berhijrah secara kekal atau sementara ke Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Johor dan ke negeri-negeri lain. Pasti korang pernah dengar Kuala Lumpur bagaikan negeri kedua bagi orang Kelantan. Dan kebanyakan mereka cari makan dengan membuka perniagaan, restoran, dan lain-lain yang berkaitan dengan bisnes.

Naelofar Hijab, Qu Puteh, dan Secret Recipe.

Siapa tidak kenal dengan jenama-jenama buatan Malaysia ini kan. Tetapi mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pengusaha jenama-jenama terkenal ini adalah berasal dari Kelantan. Neelofa, Dato’ Seri Vida, dan Datuk Steven Sim adalah merupakan anak jati Kelantan yang berjaya mengembangkan bisnes mereka ke peringkat antarabangsa.

Namun, mereka hanyalah beberapa daripada usahawan Kelantan yang berjaya. Ramai lagi usahawan lain yang tidak disenaraikan. Saya sebagai warga Kelantan turut berbangga dengan kejayaan mereka.

Hakikatnya, terdapat sebahagian besar rakyat Kelantan yang berniaga untuk menyara kehidupan. Sama ada secara sepenuh masa atau sambilan. Sebut sahaja apa jenis perniagaan, segala-galanya ada. Ada yang berniaga di pasar besar, pusat membeli-belah, zon bebas cukai, kedai runcit, peruncit yang menjual bahan mentah dari rumah ke rumah, ada yang menjual barangan harian secara kecil-kecilan di rumah, dan sekarang ramai anak-anak muda Kelantan yang memilih untuk berniaga online.

Jika anda ke Kelantan, rata-rata mereka yang berniaga adalah orang perempuan. Pasti anda tertanya-tanya di mana orang lelaki Kelantan? Apakah orang lelaki Kelantan malas atau tidak suka bekerja?

Tanggapan anda silap! Orang lelaki Kelantan biasanya melakukan kerja-kerja yang lebih berat, seperti menangkap ikan, bertani, berkerja di bendang, memukul batik, membuat wau, membuat kerja-kerja pertukangan dan sebagainya. Perniagaan pula bagi mereka adalah kerja yang ringan dan sesuai bagi orang perempuan yang di katakan sangat lemah lembut dan mudah mengambil hati.

Haa. Anda mesti tertanya-tanya, apakah kehebatan mereka dalam berniaga? Apakah strategi bisnes mereka? Jadi, berdasarkan pemerhatian saya, berikut merupakan cara-cara mereka berbisnes yang dilihat sebagai faktor kejayaan perniagaan mereka.

Neelofa bersama tudungnya

Bijak Mengambil Peluang

Pada pendapat saya, peniaga Kelantan ini sangat bijak mencari dan menggunakan peluang yang ada. Mereka tidak mementingkan tempat berniaga, tepi jalan pun jadi, asalkan barang laku. Peniaga yang ingin membuka perniagaan akan mencari tempat yang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya tempat yang sudah ada peniaga lain. Namun begitu, mereka tidak akan menjual barangan yang sama dengan perniagaan yang sedia ada di situ. Hal ini kerana mereka saling melengkapi antara satu sama lain dan akan mencuba sebaik mungkin untuk mengelakkan persaingan.

Selain itu, mereka juga tidak akan melepaskan peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke merata tempat sekiranya produk itu mendapat permintaan ramai. Contoh pada masa kini, fenomena ‘Nasi Berlauk KakChik’ yang tersebar luas di merata tempat. Sekiranya anda ke Kelantan, anda akan melihat gerai-gerai kecil di tepi jalan yang menjual nasi bungkus KNB (Nasi Berlauk KakChik) yang berasal dari Tumpat, Kelantan dari malam hingga ke pagi. Ia juga tersebar sehingga ke Kuala Lumpur di mana ia diterbangkan ke sini melalui penerbangan pertama setiap pagi. Wow!

Buat Jenama Sendiri

Seperti Nasi Berlauk KakChik (KNB), ramai peniaga-peniaga Kelantan yang menggunakan strategi penjenamaan produk buatan mereka sendiri. Walaupun ramai peniaga yang menjual produk yang sama, namun, bahan, bentuk, dan rasanya adalah berbeza. Setiap pengeluar mempunyai cara pembuatan dan resepi mereka tersendiri. Jadi, dengan membuat jenama sendiri, pembeli-pembeli dapat membezakan produk-produk tersebut dan senang untuk mereka ingat produk kesukaan mereka.

Mereka banyak menggunakan nama yang bercirikan Melayu atau yang melambangkan hasil buatan orang Melayu sendiri seperti ‘Sos Pencicah Kak Wan’ atau ‘Keropok Cap Kapal’. Ada juga yang menggunakan dialek Kelantan dalam penjenamaan produk seperti produk budu jenama ‘Budu Sohor Kelate’. Oleh kerana Kelantan dikenali sebagai negeri ‘Serambi Mekah’, kebanyakan papan tanda kedai dan jenama produk ditulis menggunakan tulisan jawi di samping menggunakan model yang menutup aurat untuk menjaga kesucian agama Islam yang seterusnya menarik pembeli dari segenap lapisan masyarakat. Indah sungguh!

Branding Qu Puteh yang terhebat di Kelantan

Sepakat Berkongsi Rezeki

Cara orang Kelantan berniaga yang paling saya tertarik ialah mereka tidak kedekut untuk berkongsi rezeki dan saling membantu sesama sendiri. Peniaga-peniaga di pasar, bazar, atau di kedai bebas cukai akan bersepakat dalam menentukan harga yang akan dikenakan bagi setiap barangan agar nilainya sama untuk setiap kedai. Maka, persaingan mereka sihat. Prinsip mereka ialah lebih baik kongsi rezeki daripada tidak dapat langsung.

Misalnya, sekiranya kedai A yang menjual kain batik pada harga 50 ghiya (orang Kelantan menggunakan matawang Riyal), kedai lain juga akan menjual pada harga sama. Dan sekiranya kedai A kehabisan stok, mereka tidak akan melepaskan pelanggan itu pergi begitu sahaja, mereka akan mengesyorkan kedai-kedai yang ada menjual barang yang sama. Mereka sanggup berbuat demikian demi memuaskan permintaan pelanggan yang secara tidak langsung dapat menambah jualan rakan kedai yang lain.

Bersikap Mesra Pelanggan

Satu perkara lagi yang boleh kita lihat dari cara mereka berniaga ialah mereka sangat ramah dan mudah mesra dengan pelanggan. Mereka menganggap semua pelanggan yang datang ke kedai mereka adalah orang kaya. Oleh sebab itu, dengan apa cara sekalipun, mereka akan meyakinkan pembeli untuk membeli barangan jualan mereka. Selalunya mereka akan memuji pelanggan yang datang dan akan cuba berbual mesra seperti sudah kenal lama.

Jika berkunjung ke kedai atau pasar di Kelantan, anda akan lihat peniaga-peniaga ini bermanis mulut yang membuatkan anda tertarik untuk membeli di situ. Peniaga-peniaga ini adalah dari pelbagai umur. Tidak kira yang berusia atau yang masih muda, mereka akan menggunakan dialek Kelantan untuk berkomunikasi dan melayan pelanggan mereka dengan baik. Walaupun pelanggan itu dari luar Kelantan, mereka tetap boleh berkomunikasi dengan menggunakan dialek masing-masing. Menarik kan!

Anak-anak kelahiran Kelantan yang menetap di dalam negeri dan yang merantau sudah cenderung untuk berniaga kerana dunia perniagaan bukanlah bidang asing bagi mereka. Senarai faktor kejayaan berniaga di atas hanyalah berdasarkan pemerhatian kasar saya sahaja. Terdapat banyak lagi faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan mereka. Namun begitu, bukan semua orang akan memiliki kejayaan yang sama kerana definisi ‘kejayaan’ itu subjektif.

Selain terer berniaga, Oghe Kelate (Orang Kelantan) juga sebenarnya kaya dengan ilmu, semangat, dan budi bahasa. Kalau tidak percaya, datanglah ke Kelantan dan rasai sendiri pengalaman bersama orang-orang Kelantan yang sangat peramah dan nikmati pelbagai makanan dan aktiviti-aktiviti tradisional Kelantan. Bagi yang berbisnes, anda boleh lihat sendiri suasana berniaga orang Kelantan yang dikatakan sangat mahir ini. Maghilah Kelate (Datanglah ke Kelantan)!

Siti Wardah

I am a linguistics student who is exploring the strange world of media (content writing). Hope everyone enjoy my writings. :)

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: