4 Pengajaran Penting Dalam Bidang Penjualan

Berbeza dengan pekerjaan lain, berada dalam bidang penjualan memerlukan komitmen yang tinggi dan ketabahan yang luar biasa. Bekerja dalam bidang ini, jurujual tidak mendapat gaji yang tetap. Kalau dapat pun, pendapatan asas sahaja. Tetapi, walaupun pada permulaannya gaji mereka rendah, mereka dapat menikmati keuntungan yang lumayan dengan setiap penjualan.

Disebabkan potensinya lumayan dan mudah untuk bermula, pilihan untuk menjadi jurujual sangat popular di kalangan graduan. Mereka biasanya memilih penjualan kereta, insurans, dan semestinya melibatkan diri dalam penjualan langsung (MLM). Bidang ini tidak memerlukan kelayakan yang tinggi, sebaliknya, ia lebih mementingkan kemahiran insaniah (soft skills).

Kemahiran ini bukan hanya penting untuk bidang penjualan, namun, dalam ekonomi 4.0 ini, ia sangat diperlukan untuk semua pekerjaan lain. Di sini, kami berkongsi kemahiran-kemahiran yang dapat dipelajari dalam bidang penjualan.

Ketabahan Diri

Kerja di dalam bidang jualan ini sangat mencabar. Ia adalah lumrah seorang penjual untuk mendapat penolakan. Aduh. Pasti tension. Walaupun kita sudah cuba yang terbaik, tetap akan ada orang yang tidak terima. Ini akan mematahkan semangat sesiapa saja.

Adalah normal bagi seorang jurujual ditolak setiap hari, tetapi lama-kelamaan mereka akan menjadi tebal muka dan berani. Ia ibarat pepatah Melayu, “alah bisa, tegal biasa”. Penolakan yang dihadapi tidak akan mematahkan semangat kerana mereka percaya akan produk yang mereka jual, lalu mereka akan teruskan berusaha.

Dalam berbisnes dan kehidupan seharian, setiap orang pasti akan hadapi situasi penolakan dan kekecewaan. Namun begitu, selepas melakukan audit diri (dan ambil pelajaran), kita akan tetap berdiri teguh dan maju kehadapan. Kita tidak akan membiarkan negativiti menghalang kita.

Disebabkan lumrah penjual yang asyik kena reject saja, berada dalam satu pasukan (atau team) sangat penting untuk melindungi diri dan memberi semangat. Sesungguhnya, bekerjasama itu kunci kejayaan.

Komunikasi

Kumpulan jualan banyak bergantung kepada teknik berkomunikasi. Mereka mempunyai cara yang berbeza untuk mendekati pelbagai jenis pelanggan. Seorang penjual yang hebat tahu apa yang perlu dicakap dan apa yang tak perlu, serta bagaimana untuk membuatkan orang teruja, tertarik dengan produk, dan berjaya dengan jualan itu.

Pengusaha juga disarankan untuk menyediakan elevator speech untuk menyampaikan mesej yang konsisten dan jelas. Tidak kiralah apa jenis komunikasi yang kita guna, daripada mesej pendek atau e-mel ringkas hinggalah rancangan TV yang bersiri, kita perlu jelas tentang apa yang cuba disampaikan.

Biasanya pengguna sudah tahu tentang sesetengah maklumat sesuatu produk, samada dapat tahu sendiri atau daripada orang lain. Tetapi, ramai yang menyalahtafsir maklumat tersebut dan membuatkan mereka salah anggap tentang sesetengah produk atau perkhidmatan.

Oleh sebab itu, kata-kata dan gambar sangat besar peranannya. Sedikit kesilapan dalam penggunaan perkataan dan imej akan menyebabkan keseluruhan kempen gagal dan meninggalkan pelanggan terpinga-pinga. Jadi, sebagai jurujual moden, mereka perlu mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi dengan jelas dan mantap.

Jaringan Perhubungan

Bagi mencapai rekod jualan yang tinggi, kita perlu melakukan sebanyak mungkin jualan, dan ini memerlukan kita untuk bermesra dan menjalinkan perhubungan dengan orang ramai. Jaringan perhubungan ini merupakan satu aset yang penting kepada seorang individu, terutama sekali kepada usahawan.

Ia disarankan untuk memupuk kemasyarakatan di antara klien dan pelanggan kita sendiri. Ini mungkin sesuatu yang aneh, tetapi kajian telah menunjukkan bahawa ia akan membawa kelebihan dan keuntungan kepada bisnes kita.

Dalam dunia ini, kita tidak mampu untuk hidup seorang diri. Kita memerlukan masyarakat sekeliling untuk kita terus maju kehadapan. Jaringan perhubungan ini yang memberikan laluan kepada kita untuk meluaskan rangkaian bisnes, membolehkan kita menceburi bidang yang lebih besar dan mempelajari bidang yang baru.

Empati

Untuk menjadi penjual yang hebat, kita haruslah memahami kehendak pelanggan. Pendekatan yang terbaik adalah menyediakan penyelesaian masalah mereka. Tanpa empati dalam jualan, jurujual tidak boleh mempengaruhi orang lain, dan pelanggan tidak akan membeli dari jurujual yang tidak mengerti kehendak mereka.

Kemahiran ini juga penting dalam bidang lain selain daripada perniagaan. Selalunya kita fikir produk kita adalah yang terbaik lalu mudah kecewa apabila orang lain tidak mahukannya. Dengan memiliki empati, kita dapat memahami mengapa mereka tidak mahu akan produk kita. Mungkin mereka tidak mampu atau produk kita tidak sesuai untuk mereka. Dengan pengetahuan ini, kita boleh membuat keputusan yang lebih baik.

Contohnya, seorang jurujual kereta ingin mengesyorkan kereta kepada pelanggan yang tidak boleh membuat pilihan. Oleh itu, dia perlu bertanya tentang kriteria-kriteria kereta yang mereka mahukan, berapakah bajet yang mereka ada, dan apakah masalah berkenaan kenderaan yang mereka sering hadapi. Dari situ, barulah jurujual itu boleh menyenarai pendek kereta yang sesuai berdasarkan maklumat tersebut. Maka, pelanggan dapat membuat keputusan dengan mudah.

Rahsia yang dipegang oleh jurujual untuk berjaya mendapatkan pelanggan mereka kini boleh juga digunakan oleh pekerja-pekerja dalam bidang lain. Samada anda seorang pengusaha bisnes atau bekerja di pejabat, dengan adanya kemahiran ini akan memberikan kelebihan kepada anda berbanding orang lain. Walaupun agak sukar untuk menguasainya, paksa diri anda untuk mengembangkan kemahiran ini jika ingin berjaya!

Nurhadi Zainol

Seorang graduan undang-undang dengan minat yang mendalam terhadap dunia perniagaan. Kini berkhidmat sebagai eksekutif kanan pembangunan perniagaan di sebuah syarikat pendidikan di Malaysia. Seorang yang berani mengambil risiko dan suka kepada cabaran serta sentiasa mempunyai pendapat tentang semua perkara.

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: