Bekerjasama Adalah Kunci Kejayaan

Dalam temubual ini, Ali Lim banyak menyebut tentang ‘teamwork’ yang merupakan ciri utama yang digunakan dalam bisnes insurans beliau. Beliau menekankan bahawa hubungan silaturrahim dan kerjasama di antara ejen-ejen syarikat beliau amat dititikberatkan bagi mencapai target jualan mereka, dan merupakan kunci kejayaan mereka.

Mari lihat perkongsian beliau bersama kami dalam siri video BorakBisnes.

Jadi, mengapa ‘kerjasama’ penting untuk berjaya?

Bekerjasama Untuk Menjana Daya Kreativiti

Kejayaan mana-mana organisasi bergantung kepada bagaimana ahli-ahlinya berkomunikasi dan mengendalikan tugas bersama-sama. Jelas sekali, kerja berpasukan adalah satu bahagian paling penting dalam setiap organisasi kerana mereka dapat berkongsi maklumat, memberikan motivasi, serta membantu membuat keputusan yang lebih baik.

Kajian menunjukkan bahawa masalah yang rumit paling berkesan diselesaikan oleh pasukan tiga, empat atau lima orang, berbanding dengan orang yang menangani masalah yang sama bersendirian. Bahkan, individu yang berprestasi tinggi juga tidak mampu menandingi mereka yang bekerja dalam kumpulan.

Sesebuah organisasi semestinya mempunyai pekerja-pekerja yang pelbagai jenis bakat masing-masing. Keupayaan kreativiti individu sering membawa kepada hasil terbaik jika disatukan bersama-sama. Apabila setiap kemahiran itu digabung dalam sesi brainstorming, pasukan itu dapat menjana daya kreativiti bersama dan meningkatkan lagi peluang mendapatkan penyelesaian atau hasil terbaik.

Kalau nak lari laju, lari seorang diri. Kalau nak lari jauh, kerja sebagai satu pasukan – pepatah Afrika

Daya kreativiti ini yang akan membawa kepada idea-idea baru untuk kekal berdaya saing dan relevan. Tanpa inovasi, organisasi akan semakin ketinggalan berbanding pesaing lain. Syarikat IT besar seperti Apple, Microsoft, dan Facebook dapat kekal di atas dengan mengimbangkan pekerja berbakat dan pekerja berpasukan lalu membentuk ‘Creative Team’ (Pasukan Kreatif) mereka tersendiri.

Seperti dalam organisasi Insurans, ejen mereka sering menghadapi pelanggan atau produk yang bermasalah. Daripada pening kepala fikir sendiri, ejen-ejen mereka sering mengadakan mesyuarat untuk berkongsi dan berfikir bersama-sama untuk menyelesaikannya. Maka, strategi jualan mereka menjadi semakin mantap.

See also  Ep11: Cola Kedah. Beyond Profit

Natijahnya, saya percaya dengan adanya kerjasama di tempat kerja, semua pekerja di negara ini baik penjawat awam mahupun swasta mampu berfikir di luar kotak. Dan hasilnya kelak pasti akan memberi impak yang sangat positif kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Bekerjasama Untuk Mendapat Sokongan Padu

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing – pepatah Melayu

Dalam dunia pekerjaan, kita akan menerima tugas baru hampir setiap hari. Bagi mereka yang mahir, kacang je. Tapi, bagi pekerja baru atau yang kurang cekap selalunya akan gagal memenuhi tarikh akhir dan kualiti kerja yang diinginkan apabila bekerja sendirian. Sebaliknya, bekerja secara berkumpulan membolehkan mereka saling menyokong dan membantu antara satu sama lain. Malah, menjadikan mereka lebih produktif.

Selain mendapat sokongan fizikal, bekerja berkumpulan juga akan memberikan sokongan moral kepada pekerja. Apabila menghadapi masalah seorang diri, pekerja biasanya akan tumbang sebelum selesai kerja kerana tiada sokongan moral. Terutamanya dalam bidang jualan seperti insurans, mereka sentiasa mendapat penolakan oleh pelanggan. Jadi, mereka amat memerlukan sokongan moral supaya sentiasa berfikiran positif.

Semasa bekerja dalam pasukan, pekerja umumnya menerima lebih banyak pujian berbanding bekerja sendirian, jadi mereka merasa seperti mereka menyumbang sesuatu yang istimewa dan diakui ramai lalu menaikkan semangat mereka. Jadi, ringankanlah mulut anda untuk mengucapkan ‘syabas’ atau ‘bagus’ kepada orang bawahan dan rakan sekerja.

Tambahan lagi, dengan bekerja dalam satu pasukan, pekerja akan membangunkan rasa kekitaan dan komitmen terhadap satu sama lain dalam mencapai matlamat bersama. Lalu, prestasi kerja mereka akan turut sama meningkat serta menjadikan organisasi tersebut berjaya.

Kesimpulannya, sama ada kita berada di rumah, sekolah, atau bekerja, kita akan selalu menghadapi kesukaran dalam melakukan sesuatu. Tetapi, jangan berputus asa, anda boleh meminta bantuan orang lain. Seperti kereta yang bergerak dengan empat tayar, anda juga perlukan sokongan daripada orang lain untuk maju. Jadi, cuba untuk bekerja dengan pasukan daripada menghadapi kesukaran bekerja bersendirian.

See also  Ep7 Car Sharing - A Solution For Unused Cars

Bagaimana Untuk Mencipta Pasukan Yang Hebat

Menurut majalah Inc.com sebuah majalah bisnes Amerika, latihan pembangunan pasukan adalah cara terbaik untuk membantu pekerja-pekerja untuk bekerja sebagai satu unit yang bersatu padu dan memberikan tumpuan kepada satu matlamat yang sama. Latihan ini harus memberi tumpuan kepada pembinaan hubungan, meraikan kejayaan, dan juga mengamalkan kemahiran pasukan.

Syarikat perlu memperkenalkan sistem pengiktirafan pekerja. Tetapi perlu diingat, pengiktirafan ini harus diberikan kepada kumpulan, bukan individu agar tidak timbul isu ‘bos pilih kasih’. Sebagai ketua, anda perlu raikan kejayaan pekerja anda secara beramai-ramai bukannya dengan pihak atasan sahaja.

Boleh dilihat, syarikat-syarikat insurans sering memberi ganjaran seperti komisen tinggi, anugerah, pakej percutian, dan sebagainya kepada ejen mereka yang mencapai jualan yang tinggi. Kesannya, ia akan meningkatkan semangat dan prestasi kerja mereka.

Jika ingin mengadakan latihan pembangunan pasukan, perlu diingat untuk memberikan penekanan khusus kepada kepercayaan, kesetiaan, kemahiran, dan yang paling penting, keseronokan. Walaupun ia mengambil sedikit masa tetapi ia benar-benar berbaloi.

Kesudahannya, anda akan mempunyai satu unit yang padu dan mesra serta bersedia untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah di syarikat anda ke tahap keberkesanan yang sepenuhnya.

Oleh itu, wujudkan kerjasama di dalam pasukan anda untuk membawa kepada kejayaan!

Popular Posts

NEWSLETTER

Sign up NEWSLETTER ini untuk mendapat artikel, video, podcast serta tip-tip penting untuk perjalanan keusahawanan kita bersama.

%d bloggers like this: