Pentingnya Pengurusan Kewangan Peribadi

Pengurusan kewangan peribadi adalah kunci bagi memastikan kita tidak terlibat dengan masalah kewangan yang serius. Kebelakangan ini, kita sering melihat bahawa anak-anak muda banyak membuat pinjaman samada di bank ataupun agensi pinjaman peribadi. 

Nak belajar, pinjam 15 ribu.

Nak kahwin, pinjam 20 ribu.

Nak beli kereta, pinjam 50 ribu.

Nak beli rumah, pinjam 100 ribu.

Tapi, gaji hanya 3-4 ribu. Mampu ke nak bayar?

Haa.. itulah pentingnya pengurusan kewangan peribadi!

Apakah pengurusan kewangan peribadi?

Di zaman perbankan di hujung jari kini, ramai yang berbelanja melebihi kemampuan. Hal ini disebabkan oleh tahap pengetahuan dan pengurusan kewangan yang lemah dan tiada perancangan jangka masa panjang.

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan kewangan peribadi?

Secara teori, ia bermaksud suatu proses perancangan masa depan bagi memenuhi matlamat peribadi dan kewangan dengan melakukan perancangan kewangan yang menyeluruh.

Ia merangkumi pengurusan aliran tunai (pendapatan dan perbelanjaan), simpanan, dan kredit. Ia  juga meliputi pemahaman tentang bagaimana akaun semasa bergerak, bagaimanakah penggunaan kad kredit yang betul, dan bagaimana untuk mengelakkan hutang.

Secara praktikalnya, apabila kita merancang perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli aset seperti kereta atau rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan anak, kita perlu mengambil kira kadar pendapatan dan simpanan. Oleh itu, kita tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pinjaman.

Persoalannya sekarang, mengapa kita perlu merancang kewangan?

Mengapa pentingnya pengurusan kewangan peribadi?

Pada pendapat saya, siapa yang pandai uruskan kewangan peribadi, dia akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh terjadi. Setuju tak?

Apabila kita merancang, kita akan mempunyai duit simpanan atau tabungan kecemasan yang boleh digunakan apabila berlaku sesuatu perkara yang di luar jangkaan seperti kereta rosak, kemalangan, bencana, jatuh sakit mahupun apabila pendapatan terhenti.

Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Lalu, kita akan mempunyai maklumat kira-kira yang tepat sebagai panduan untuk perbelanjaan kita.

Jika sudah jelas, saya ingin kongsikan pula sebahagian elemen-elemen yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi yang anda rasakan ‘susah’ ini:

Pengurusan Aliran Tunai (Pendapatan dan Perbelanjaan)

Walaupun anda mendapat gaji yang banyak, ianya akan habis dengan sekelip mata sahaja jika anda ia tidak diuruskan dengan betul!

Tidak kira anda makan gaji atau berbisnes, anda mesti pandai menguruskan aliran tunai dengan mengimbangkan antara pendapatan dan perbelanjaan. Jika pendapatan anda 2 ribu, janganlah berbelanja 3 ribu kerana ia akan membuatkan anda berhutang.

Justeru itu, anda hendaklah membuat bajet perbelanjaan peribadi secara bulanan mengikut kemampuan. Terima hakikat memang ada barangan atau perkara yang anda tak mampu miliki. Jangan terikut-ikut gaya hidup orang lain yang boros dan mewah. Yang merana nanti adalah anda sendiri, bukan mereka.

Manakala, jika anda mempunyai impian untuk memiliki barangan mewah seperti kereta, rumah, dan sebagainya, buat kira-kira dahulu. Anda juga perlu pilih yang mampu sahaja. Hal ini kerana, memiliki benda-benda tersebut akan meningkatkan kos belanja dengan mendadak.

Cadangan saya, sediakan satu tabung khas untuk perbelanjaan yang mahal seperti pergi melancong atau beli barang-barang idaman. Selagi tabung tak capai sasaran, tangguhkan hasrat untuk perbelanjaan tersebut.

Anda mesti ingat, walaupun anda mendapat gaji yang banyak, ianya akan habis dengan sekelip mata sahaja jika anda ia tidak diuruskan dengan betul! Ini juga tepat untuk pengurusan aliran wang syarikat perniagaan juga.

Pengurusan Simpanan

Menguruskan akaun simpanan melibatkan pemahaman pentingnya simpanan, menetapkan tujuan simpanan, dan memilih pilihan terbaik simpanan.

Simpanan pertama harus ditumpukan untuk membuat dana kecemasan sebagai bekalan ketika waktu-waktu kecemasan atau luar dugaan.

Kedua, rancang dana persaraan sejak awal-awal bekerja, bukan dekat-dekat apabila dah nak bersara. Kalau kerja kerajaan, jangan hanya bergantung kepada pencen. Kalau kerja swasta, jangan hanya bergantung kepada simpanan KWSP. Dengan keadaan ekonomi sekarang, ianya tidak cukup.

Seterusnya, seperti yang saya katakan tadi, untuk memiliki barangan mahal seperti rumah dan kereta, buat simpanan dari awal. Apabila dah berkeluarga dan punyai kerjaya yang stabil, simpanan anda akan tersedia untuk digunakan. Jadi, anda tidak perlu membuat pinjaman yang banyak.

Yang paling penting, bermula dari gaji pertama, sentiasa asingkan sebahagian untuk simpanan terlebih dahulu sebelum dibelanjakan. Kalau boleh, simpan 20-30% daripada gaji. Baca ini untuk lebih banyak tips dan panduan: Berapa Banyak Gaji Yang Patut Saya Simpan

Orang muda masih tak banyak komitmen, simpanan harus diutamakan!

Pengurusan Kredit

Kredit/pinjaman adalah bidang kewangan peribadi yang menyebabkan ramai orang terjebak dalam masalah kewangan.

Kredit membolehkan seseorang untuk menerima wang, barang, atau perkhidmatan dalam bentuk pinjaman dengan bersetuju untuk membayar pinjaman pada jangka waktu dan kadar bunga kredit tertentu. Dalam erti kata lain, anda beli barang secara hutang.

Pengurusan kredit yang betul adalah penting untuk kefahaman tentang pinjaman wang bagi mendapat tawaran yang baik serta bagaimana untuk mengira beban kewangan dan bayaran bulanan.

Oleh itu, anda perlu elakkan berhutang untuk perbelanjaan-perbelanjaan hangus iaitu perbelanjaan bil Astro, bil elektrik, bil internet, dan bil postpaid kerana ia akan mencecah ribuan ringgit jika dikumpulkan. Dan kalau ada gunakan kad kredit, gunakan dengan berhati-hati dan pastikan bayaran dilakukan dengan baik.

Begitu juga dengan pinjaman pelajaran, anda kena bertanggungjawab dan mula bayar seawal mungkin. Ia bagi mengelakkan nama anda disenaraihitamkan.

Tambahan lagi, orang muda kena cipta dan kekalkan rekod kredit yang baik dengan bank. Ini akan memudahkan permohonan untuk mendapatkan pinjaman/pembiayaan yang lebih penting seperti pinjaman rumah dan hartanah.

Nasihat saya, elakkan membuat pinjaman atau berhutang. Kalau perlu, pinjam dalam jumlah yang kecil sahaja dan bayar secara berterusan. Anda boleh ikut kaedah ini untuk melangsaikan hutang dengan cepat: Gunakan 3 Kaedah Ini Untuk Melangsaikan Hutang Anda Dengan Pantas

Kesimpulannya, tepuk dada, tanya selera: adakah anda mampu untuk membayar sesuatu pinjaman yang ingin dibuat.

Memandangkan keperluan setiap orang berbeza mengikut umur dan keutamaan, pengurusan kewangan peribadi mestilah selaras dengan keperluan tersebut. Perkara yang saya ingin tekankan di sini adalah untuk mencapai matlamat kewangan, anda perlu membuat simpanan dan menabung mulai sekarang. Uruslah kewangan anda dengan bijak dan berhemah!

Siti Wardah

I am a linguistics student who is exploring the strange world of media (content writing). Hope everyone enjoy my writings. :)

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: