Go-Jek Satu Aplikasi Untuk Menguasai Asia Tenggara

Apabila disebut tech startup, akan terfikir syarikat gergasi seperti Apple, Facebook, Google atau Tesla. Dalam dunia tech startup yang dikuasai oleh Silicon Valley, ramai yang terlepas pandang kebolehan dan kepakaran yang terdapat di tanahair sendiri, mahupun di benua Asia Tenggara.

Oleh kerana itu, kami akan memulakan satu siri artikel mempertengahkan pengusaha yang berasaskan teknologi moden dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Philipines, dan Vietnam. Siri ini akan melihat perjalanan mereka dari menguasai pemasaran tempatan hingga ke antarabangsa.

Dalam bab pertama, kita bermula dengan saudara Nadiem Makarim. Beliau tidak tahan membazir masa dalam macet (trafik) di Jakarta. Walaupun terdapat ojek (taxi motosikal) merata, tetapi ia adalah sukar untuk mencari. Membazir masa lagi. Namun, beliau memutuskan untuk mencari penyelesaian untuk masalahnya tersendiri.

Bab 1: Nadiem Makarim tidak tahan dalam trafik

Nadiem Makarim merupakan seorang graduan Universiti Harvard yang telah berjaya mengasaskan salah satu syarikat terbesar di Indonesia pada usianya 30 tahun. Dalam masa 2 tahun sahaja, mereka dari bermula dengan 20 orang pemandu dan satu ofis kecil, telah berkembang menjadi syarikat teknologi gergasi, yang menggunakan lebih dari 300 ribu pemandu dan berkhidmat dalam lebih dari 50 buah bandar di Indonesia.

Nama ‘Go-Jek’ berasal daripada perkataan ‘Ojek’. Serupa (tapi tak sama) seperti di Kuala Lumpur, kesesakan lalulintas di Jakarta begitu epik. Ia seperti Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRRT2) di Kuala Lumpur, tapi kali sepuluh.

Go-Jek merupakan solusi yang sangat diperlukan oleh masyarakat tempatan. Dikatakan jalanraya di Jakarta kini dicat hijau (warna Go-Jek).

Satu Aplikasi Untuk Semua

“Bukan sekadar ride-hailing servis, kami telah menjadi satu-satunya aplikasi untuk semua jenis servis”

Sejak dilancarkan pada 2015, aplikasi mobile Go-Jek telah dimuat turun lebih 29 juta kali. Tetapi, kejayaan Go-Jek sebenarnya bukan atas perkhidmatan taxi motosikal semata-mata. Malah, apa yang dibangunkan oleh Nadiem adalah platform on-demand yang belum pernah terwujud dalam skala sebesar ini. Dalam ekonomi baru, pasaran digital dapat memenuhi permintaan pengguna, dari segi barangan atau perkhidmatan, dengan segera dan mudah.

Menggunakan sukses taxi motosikal Go-Jek sebagai tanda market validation, Nadiem mengambil keputusan strategik untuk memperluaskan lagi perkhidmatan yang disediakan. Lalu, dengan menggunakan platform on-demand yang sama, beliau memperkenalkan penghantaran barangan runcit dan bungkusan, membeli tiket wayang, serta pelbagai lagi jenis aplikasi Go-Jek yang lain.

Nadiem berjaya menggabungkan kepakaran teknologi dengan permintaan pengguna tempatan mendominasi pasaran negara. Kini terdapat lebih dari 15 jenis perkhidmatannya, dan nombor ini masih bertambah.

Syarikat Teknologi Terbesar di Indonesia

“Kami ingin mengawal dan mendominasi seluruh pelusuk Indonesia terlebih dahulu sebelum beralih ke pengembangan serantau.”

Hasil daripada pengenalan pelbagai jenis perkhidmatan, pengaruh Go-Jek menjadi semakin luas sehingga meletakkannya berada dalam 10 Jenama Paling Terkemuka di Indonesia. Ia juga merupakan satu-satunya syarikat di Asia Tenggara yang tersenarai dalam Fortune 2017, Senarai 50 Syarikat yang Mengubah Dunia, berada di kedudukan yang ke-17.

Pada masa kini, Go-Jek telah bernilai hampir US$4 bilion , menjadikan ia satu-satunya syarikat yang diiktiraf unicorn di Indonesia. Ia merupakan salah satu kejayaan cemerlang beliau pada tahun lepas apabila memasuki sektor teknologi kewangan (FinTech) dengan pelancaran e-dompet (e-wallet), Go-Pay, bagi memudahkan pembayaran tanpa tunai (cashless) untuk semua perkhidmatan yang ditawarkan melalui Go-Jek.

Selain itu, kejayaan Go-Pay adalah juga disebabkan oleh program ganjaran ‘Go-Points’  yang diperkenalkan pada bulan Januari 2017. Bagi setiap transaksi ‘Go-Pay’, pengguna akan memperoleh mata ganjaran yang boleh ditukar dengan diskaun pada perkhidmatan masa akan datang atau untuk barangan seperti iPhone, tiket konsert, dan sebagainya.

“Kami memilih ganjaran berasaskan mata kerana ianya mudah, menyeronokkan, dan berdaya saing,” kata Rika Indraoktaviani, timbalan presiden pemasaran Go-Jek.

Pertempuran untuk Pasaran Asia Tenggara

Walaupun Go-Jek telah mendapat tempat yang stabil di Indonesia, Grab dan Uber memberikan persaingan hebat dalam arena ride-hailing di Asia Tenggara. Lebih-lebih lagi, selepas Uber meninggalkan pasaran Asia Tenggara baru-baru ini, Grab menjadi pesaing gergasi utama dengan pelaburan sebanyak $6 bilion.

Namun, Nadiem yakin dengan strateginya untuk menjadikan Go-Jek sebagai aplikasi serba-boleh dapat mengatasi persaingan sengit ini kerana mereka sentiasa menawarkan teknologi baru untuk menjadikan kehidupan pengguna lebih mudah.

Tambahan lagi, dengan budaya syarikat yang sentiasa mengutamakan permintaan pengguna, mereka akan menyesuaikan perkhidmatan khas untuk pasaran tempatan di Asia Tenggara.

Dengan pelaburan dan sokongan yang mereka dapat daripada syarikat-syarikat gergasi berteknologi tinggi seperti Google, Tencent Holdings, dan JD.com, mereka mempunyai keupayaan untuk berjaya.

Nadiem, baru-baru ini, telah membuat keputusan untuk melaburkan US$500 juta dalam perusahaan antarabangsa. Ia merupakan langkah pertama untuk menembusi pasaran ASEAN, bermula dengan Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Walaupun bermula dari syarikat kecil, Nadiem kini telah berjaya mencipta nama di ASEAN.

“Jangan gentar! Beranikan diri untuk sentiasa mencuba dan jangan takut akan kegagalan.”

Sama ada Grab dari Malaysia, atau Go-Jek dari Indonesia, kita sebagai warga ASEAN patut bangga kita ada kebolehan untuk bertanding di arena antarabangsa.

Jika anda suka siri ini, sila tinggalkan komen untuk memberitahu apa yang anda fikirkan.

Amin Rahman

Having being involved in building businesses for the past 10 years, I am now embarked on a mission to raise the business acumen of local enterprises. Equipping ThePejabat with a wide range of tools from shared office spaces, exciting networking events, online blogs, videos and other resources.

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: