Minggu ni, ramai yang sibuk berkongsi satu berita: ZUS Coffee dilaporkan sedang bersiap untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada pertengahan 2027. Sasaran yang disebut bukan kecil. Mereka dikatakan target lebih kurang RM1 bilion, yang akan membawa penilaian syarikat mencecah RM4 bilion.
Pihak Zuspresso (M) Sdn Bhd, iaitu syarikat induk ZUS, masih lagi dalam fasa perancangan. Jadi, masa dan saiz tawaran IPO ni boleh berubah. Kalau ada sesiapa yang berminat kena tunggu sehingga Zuspresso mengeluarkan kenyataan rasmi, ya.
Angka RM4 bilion itu memang besar, terutama untuk sebuah jenama kopi tempatan yang baru bermula hanya 7 tahun lepas.
Tapi bagi saya, angka itu bukan bahagian paling menarik dalam cerita ZUS.

Cerita Sebenar Bukan Pasal Duit
Bahagian yang lebih menarik ialah bagaimana ZUS boleh sampai ke tahap ini.
Kisah ZUS adalah satu cerita yang agak menarik. Pada awalnya, mereka mengambil inspirasi daripada model perniagaan syarikat kopi berasaskan teknologi dari China, Luckin Coffee. Mereka melihat apa yang sudah terbukti berjaya di China, mengubah suainya mengikut keadaan di Malaysia, kemudian melaksanakannya dengan agresif.
Dengan mengutamakan teknologi, ZUS berpeluang untuk mengumpul dan membaca data penting tentang pasaran. Mereka boleh tahu lokasi pelanggan, melihat trend perbelanjaan, memantau kekerapan pembelian, mengkaji cita rasa pengguna, hinggalah ke tahap menilai promosi mana yang paling menguntungkan.
Setiap pembelian yang dibuat memberikan lebih banyak data kepada ZUS. Semakin ramai pelanggan menggunakan aplikasi mereka, semakin banyak yang mereka boleh pelajari tentang tabiat dan pilihan pengguna. Data ini kemudiannya boleh digunakan untuk memperbaiki produk, promosi dan cara mereka menjalankan perniagaan.
Sebab itu, walaupun Tok Guru sendiri datang ke tanah air pada tahun 2024, ZUS tidak gentar. Malah, mereka terus bersaing dengan lebih agresif melalui strategi lokalisasi.
“Anak murid” itu sudah lulus pengajian dan kini sedang bersiap untuk IPO yang berpotensi bernilai berbilion ringgit.
Dari Kiosk Kecil Ke Sistem Penjualan Kopi
Pengasas ZUS, Ian Chua dan Venon Tian, datang daripada latar belakang startup dan teknologi. Mereka melihat bagaimana Luckin di China menggunakan aplikasi mudah alih, pesanan digital dan konsep pick-up untuk membina rangkaian yang lebih ringan atau asset-light, sekali gus mengurangkan kos operasi.
Malah, aplikasi ZUS sudah dibangunkan sepenuhnya sebelum cawangan fizikal pertama mereka dibuka.
Jadi soalan mereka bukan sekadar, “Macam mana nak buka kedai kopi?”
Soalannya lebih kepada, “Macam mana nak jual kopi dengan cara yang paling cekap dan mudah untuk dikembangkan?”
Daripada situ, kedai fizikal ZUS menjadi sebahagian daripada ekosistem digital yang lebih besar. Aplikasi digunakan untuk menarik dan mengekalkan pelanggan, data membantu memahami tingkah laku pengguna, manakala kedai pula menjadi tempat untuk memenuhi pesanan.
Ringkasnya, mereka bukan sekadar bina kedai kopi. Mereka bina satu operating system untuk menjual kopi.
Bukan Tiru Budaya, Tiru Sistem

Ini mungkin bahagian paling menarik dalam strategi ZUS.
Mereka mengambil sistem Luckin, tetapi tidak cuba meniru budaya atau cita rasa China.
Sejak awal, ZUS memasukkan unsur tempatan ke dalam menu. Ada Spanish Latte versi mereka sendiri, Gula Melaka, Pandan, malah Nasi Lemak dan Kaya Toast. Bila mereka mula berkembang ke luar negara, prinsip yang sama turut digunakan. Contohnya, menu berasaskan ube diperkenalkan khusus untuk pasaran Filipina.
Dari segi harga pula, ZUS masuk ke satu ruang yang agak menarik. Mereka berada di antara kopitiam yang murah dengan kafe antarabangsa yang lebih mahal.
Dengan harga kopi specialty sekitar RM7 hingga RM11, ZUS cuba menjadikan kopi berkualiti sesuatu yang boleh diminum setiap hari, bukan sekadar ganjaran sekali-sekala.
Di sinilah kelebihan ZUS mula terbentuk.
Kopi boleh ditiru. Aplikasi juga boleh dibangunkan oleh pesaing. Tetapi mempunyai lebih 1,000 cawangan fizikal, rangkaian bekalan yang sudah kukuh dan jutaan pengguna yang sudah biasa menggunakan aplikasi ZUS bukan sesuatu yang boleh dibina dalam masa singkat.
Itulah yang menjadikan skala ZUS begitu penting.
Angka Yang Buktikan Cerita
Cerita yang menarik sahaja tak cukup. Akhirnya, angka juga kena menyokong cerita tersebut.
Berdasarkan penyata kewangan Zuspresso (M) Sdn Bhd yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hasil pendapatan syarikat pada FY2024 mencecah RM468.2 juta, lebih dua kali ganda berbanding RM204.12 juta pada FY2023.
Keuntungan selepas cukai atau PAT pula meningkat kepada RM36.62 juta pada FY2024, berbanding RM10.15 juta pada tahun sebelumnya. Ini bermakna keuntungan meningkat lebih daripada tiga kali ganda dalam tempoh tersebut.
Angka ini penting kerana ia menunjukkan ZUS bukan sekadar mengejar pertumbuhan dari segi bilangan cawangan dan hasil. Mereka juga sudah mencatatkan keuntungan.
Pada September 2024, konsortium pelabur yang terdiri daripada KV Asia Capital, KWAP dan Kapal Api Group dari Indonesia turut melabur RM250 juta untuk membiayai pengembangan serantau ZUS.
Bila prospektus IPO nanti diterbitkan, angka seperti ini akan menjadi antara asas penting untuk menilai sama ada penilaian RM4 bilion itu munasabah atau tidak. Bukan sekadar kerana ZUS ialah jenama yang popular dan viral.
Belajar mengapa aliran tunai merupakan nadi perniagaan.
Alamak Luckin Dah Sampai
Ini yang membuatkan cerita ZUS menjadi lebih menarik.
Tadi kita sebut kedatangan Luckin Coffee di Malaysia. Ramai mungkin melihatnya sebagai ancaman besar kepada ZUS. Lagipun, Luckin ialah syarikat yang menjadi antara inspirasi kepada model perniagaan ZUS sejak awal.
Tetapi dalam perniagaan, menjadi orang pertama tidak semestinya bermakna kita akan kekal di hadapan. First-mover advantage biasanya hanya bertahan untuk satu tempoh. Selepas itu, keupayaan untuk melaksanakan dan memahami pasaran menjadi lebih penting.
Luckin mungkin mempunyai teknologi, aplikasi dan modal yang besar. Tetapi ZUS sudah mempunyai beberapa kelebihan yang tidak mudah dibina dalam masa singkat.
Lokasi yang strategik. Jenama yang sudah biasa dengan pengguna Malaysia. Data tentang tingkah laku pelanggan tempatan. Dan rangkaian bekalan yang sudah dibangunkan.
Itulah ujian sebenar ZUS selepas ini.
Bukan sekadar membuktikan mereka boleh berkembang, tetapi membuktikan bahawa kelebihan tempatan yang mereka bina cukup kukuh untuk bertahan apabila pesaing asal model mereka sendiri datang ke pasaran.
Apa Ni Bermakna Untuk Kita
Rancangan IPO ZUS pada 2027 bukan sekadar satu lagi berita kewangan. Ia menjadi penanda aras kepada apa yang boleh dicapai oleh sebuah jenama tempatan yang bermula daripada sebuah perniagaan kecil pada hujung 2019.
Mereka mengambil sistem yang sudah terbukti berjaya, mengubahnya mengikut cita rasa dan tabiat pengguna tempatan, kemudian mengembangkannya pada skala yang besar.
Dan mungkin itu sebenarnya pengajaran paling menarik daripada kisah ZUS.
Kita tak semestinya perlu mencipta sesuatu yang belum pernah wujud untuk membina syarikat bernilai bilion ringgit.
Kadang-kadang, kita hanya perlu mengambil model yang sudah terbukti, faham kenapa ia berjaya, sesuaikan dengan pasaran sendiri dan laksanakan dengan cukup baik sehingga ia menjadi sesuatu yang berbeza.
ZUS tidak mencipta model kopi berasaskan teknologi itu. Mereka belajar daripada model yang sudah berjaya.
Tetapi mereka berjaya menjadikannya sesuatu yang sesuai untuk Malaysia.
Sama ada IPO ZUS benar-benar berlaku seperti yang dijangka pada 2027 atau tidak, satu perkara sudah jelas. Jenama kopi tempatan ini telah mengubah cara kita melihat apa yang mungkin dicapai oleh sebuah perniagaan F&B Malaysia.




