Pengurusan sumber manusia (HR) merupakan antara perkara yang penting bagi perusahaan baru. Untuk perusahaan bootstrap, yang mana hampir setiap perniagaan baru, mencari pekerja bukan keutamaan kerana mereka mempunyai dana yang terhad, atau pendapatan yang tidak mencukupi untuk mengekalkan perbelanjaan operasi.
Walau bagaimanapun, terdapat satu perkara yang anda harus tahu. Apabila menambah tenaga kerja, ia membolehkan para pengasas melepaskan sesetengah kerja ke tangan pekerja untuk menumpukan perhatian kepada usaha mengembangkan perniagaan mereka.
Bagi mereka yang bersedia untuk mengambil langkah seterusnya, mereka tidak tahu di mana untuk mula mencari pekerja. Dan terus terang saya katakan, ia memerlukan usaha yang terlalu banyak. Perniagaan kecil tidak mempunyai kemewahan untuk memiliki jabatan HR.
Jadi, apa yang boleh dilakukan oleh mereka?
Dengan kecanggihan teknologi sekarang, banyak laman mencari pekerja yang muncul ibarat cendawan selepas hujan. Laman-laman ini dapat membantu majikan mengiklankan kerja kosong yang terdapat dalam syarikat mereka. Maka, disini saya ingin kongsikan 5 laman web terbaik untuk mencari pekerja di Malaysia.
JobStreet
JobStreet merupakan laman web sumber kerjaya dan merupakan satu platform pekerjaan terawal ditubuhkan di Malaysia. Walaupun laman web ini sudah lama bertapak di Malaysia, ia masih kukuh sebagai laman web mencari pekerja No.1 di Malaysia.
Laman web ini adalah direka dengan baik dan mudah untuk digunakan. Tawaran kerja sentiasa dikemas kini dan mempunyai kualiti yang baik. Di laman ini, terdapat juga fungsi ‘CV-theque’ yang boleh membantu majikan mencari calon dengan kelayakan yang sesuai.
Bagi pengusaha baru yang masih mencari pekerja dan tidak tahu di mana untuk bermula, maka JobStreet merupakan platform yang terbaik buat anda. Dengan lebih daripada 4.1 juta calon berdaftar, peluang untuk majikan mencari calon yang sesuai adalah sangat tinggi. Jobstreet adalah sokongan yang besar untuk mencari pekerja dan pencarian kerja anda di Malaysia!
MauKerja
Oleh kerana kaedah pencarian pekerjaan secara tradisional kurang lagi efektif pada abad ini, pasukan MauKerja menubuhkan laman ini untuk mengurangkan kos penglibatan yang tinggi untuk mencari pekerja. Sejak ditubuhkan pada 2013, mereka kini berada pada kedudukan ke-2 di Malaysia.
Dengan papan pemuka dan alat pengurusan canggih, ia membolehkan majikan untuk mendapatkan pekerja berdasarkan kriteria pilihan. Dalam platform ini, kerja kosong disiarkan setiap hari dan dikelaskan secara sistematik mengikut lokasi dan fungsi tugas.
Laman ini juga mempunyai blog yang merupakan alat yang amat berguna untuk pencari kerja mencari nasihat carian kerja dari perspektif pengurus serta untuk majikan yang mencari maklumat penting untuk meningkatkan usaha merekrut mereka. Dengan fungsi dua bahasa, Bahasa Inggeris dan Melayu, sesi pencarian pekerja menjadi lebih mudah dan jelas!
WOBB
Berbeza dengan laman mencari kerja yang lain, Wobb (Working on Bean Bags) bukan hanya platform mencari pekerjaan biasa. Pasukan mereka menyenaraikan sendiri beberapa majikan yang mempunyai kerja kosong serta memilih jawatan yang sesuai dengan calon mengikut kriteria-kriteria tertentu.
Selain itu, mereka juga membuat suatu kelainan dimana mereka membenarkan calon yang memohon untuk melawat kawasan pejabat. Jadi, majikan berpeluang untuk memperkenalkan budaya kerja mereka untuk memastikan calon tersebut bersesuaian dengan budaya itu dan ingin kekal lama dengan syarikat.
Mereka juga ada memperkenalkan aplikasi mudah alih yang berfungsi untuk calon mencari kerja di mana sahaja. Teknologi unik mereka juga boleh memadankan majikan dan pencari kerja berdasarkan kemahiran dan kebolehan budaya. Walaupun proses pengambilan pekerjaan di Wobb agak banyak, mereka mendapati bahawa hampir 77% majikan berjaya mendapatkan pekerja idaman mereka di sini.
Intern.my
Seperti namanya, Intern.my merupakan satu platform untuk pelajar mencari peluang intership (latihan industri) di syarikat swasta. Platform ini adalah sesuai untuk majikan di luar sana yang tidak memerlukan pekerja sepenuh masa tetapi sedang mencari pekerja pelatih atau pelajar praktikal.
Kelebihan kepada majikan adalah mereka tidak perlu membayar gaji tetap, tetapi harus menyediakan elaun kepada pelajar praktikal tersebut. Di samping itu, pelajar juga mendapat peluang untuk menambahkan pengalaman bekerja mereka sebelum melangkah kepada dunia pekerjaan yang sebenar.
Mudah.my
Selalunya laman Mudah.my ini hanya digunakan untuk menjual dan membeli barang secara online. Siapa sangka portal ini juga boleh digunakan oleh majikan untuk mengiklankan kekosongan kerja di syarikat mereka. Sebenarnya, terdapat kolum ‘Jobs’ yang menyenaraikan pelbagai kategori pekerjaan dengan kadar gaji yang ditetapkan.
Berdasarkan pemerhatian saya, bagi majikan yang ingin mencari pekerja dalam kadar segera sama ada secara tetap atau separuh masa, laman web ini menjadi pilihan utama mereka kerana terdapat banyak pengguna yang aktif pada setiap minit. Oleh itu, peluang pengguna untuk melihatnya dan memohon pekerjaan lebih cepat berbanding laman web lain.
Sekarang, majikan tidak perlu lagi pening-pening kepala untuk memikirkan masalah kekurangan dan pencarian pekerja. Dengan adanya laman-laman ini, anda hanya perlu mencipta iklan jawatan kosong dan paparkannya secara online. Dengan hanya berada di depan komputer, kini anda boleh melantik calon yang sempurna untuk syarikat anda!