fbpx

5 Jenis Topi Yang Dipakai Oleh Usahawan

Dalam perniagaan, terutamanya yang baru sahaja dimulakan, kebiasaannya seseorang usahawan itu perlu melakukan segalanya sendiri, dari A hingga Z. Sama ada tahu atau tidak bagaimana untuk melaksanakannya, secara automatik, anda perlu melakukan semua ini untuk melancarkan dan menggerakkan perniagaan agar boleh pecut ke hadapan. Tahukah anda yang kesemua peranan yang perlu dimainkan ini juga digelar sebagai ‘topi’, atau peranan, yang perlu ditukar dari masa ke masa?

Sebagai usahawan, anda perlu mengubah gaya fikiran dan kebolehan, mengikut jenis ‘topi’ yang dipakai. Kebolehan menukar peranan mengikut keperluan situasi ini membolehkan anda melihat perniagaan dari sudut yang lebih menyeluruh ibarat seekor burung yang terbang di angkasa.

Nak tahu apakah ‘topi-topi’ yang wajib dipakai ini? Teruskan membaca.

Pemimpin

Tanpa pemimpin, tak mungkin sesebuah organisasi mampu bergerak atau maju ke hadapan. Pemimpin adalah tunggak sesebuah perniagaan di mana anda perlu memiliki pandangan yang jauh ke hadapan iaitu visi dan misi yang ingin dicapai.

Sewaktu mengenakan ‘topi’ sebagai pemimpin, anda perlulah memiliki keyakinan yang sepenuhnya dengan kemampuan perniagaan untuk pergi jauh dan mencapai target yang diimpikan. Ingatlah, “Kejar visi, bukan kejar wang ringgit: Wang akan mula mengejar anda.”

Sebagai seorang pemimpin, anda juga perlu ada mindset untuk cuba mencapai kejayaan tanpa perlu bersaing dengan orang lain, macam pelik bunyinya kan?

Ordinary people can be extraordinary – Elon Musk

Ini kerana persaingan yang sebenar adalah antara diri anda sendiri dan potensi sebenar yang ada dalam diri, memetik kata real-life Iron Man, Elon Musk, “Ordinary people can be extraordinary,” potensi yang ada dalam diri setiap orang sebenarnya wujud tanpa had, tidak perlulah anda membuang masa merangka jalan untuk bersaing dengan orang lain yang memiliki perjalanan kehidupan yang berbeza dengan anda. Pendek kata, setiap kali terjaga daripada tidur, satu-satunya fokus yang penting adalah untuk menjadi lebih baik daripada semalam.

Pengikut

Untuk menjadi seorang pemimpin yang baik, anda perlulah menjadi seorang pengikut yang baik. Banyak perkara yang dapat dipelajari dengan menjadi seorang pengikut yang baik. Berdasarkan kenyataan daripada pensyarah Universiti Harvard, Barbara Kellerman, “Pengikut yang baik adalah seorang yang amat komited dan terlibat secara mendalam. Mereka tahu apa yang menjadi pencetus motivasi diri dan apa yang akan mengurangkan semangat. Sebagai pengikut, mereka berkebolehan untuk berkolaborasi dengan baik serta bersemangat tinggi.”

Tidak cukup dengan hanya menjadi pemimpin yang berpandangan jauh tanpa merasai titik peluh bekerja bagi mencapai target yang diinginkan.

Vision without action is just a dream, action without vision just passes the time, and vision with action can change the world – Joel A. Barker

Sekiranya anda adalah seorang freelancer, anda bukan sekadar memiliki target untuk mendapatkan aliran masuk wang tunai konsisten sekurang-kurangnya RM4000 sebulan, tetapi juga perlu bersikap proaktif untuk mendapatkan lebih banyak projek sama ada melalui cold calling, direct mail campaign kepada syarikat yang mungkin memerlukan khidmat anda dan sebagainya.

Baca ini jika anda ingin menjadi freelancer yang berjaya.

Pengurus

Seperti namanya, pengurus, jelas sekali peranan yang dimainkan, tapi tahukah anda apakah bidang kerja yang termasuk di dalam peranan ini?

Seorang pengurus perlu memastikan semua strategi yang dirancang adalah efektif dan efisien untuk menghasilkan keuntungan sebesar yang mungkin. Anda adalah orang yang perlu melakukan banyak penelitian. Di mana terdapat kesilapan ataupun masalah, di situlah anda perlu cepat mengambil langkah berjaga-jaga atau mula mengatur strategi yang dapat menyelamatkan situasi.

Selain perancang operasi, pengurus juga perlu bijak merancang pemasaran, jualan, kewangan dan lain-lain lagi yang boleh melancarkan perniagaan.  Dalam memainkan peranan ini juga, anda perlu menerima kesalahan atau kekurangan diri dan sentiasa mengambil inisiatif untuk pembangunan diri (self-growth). Proses pembangunan diri ini perlulah dilakukan secara konsisten.

Sebagai contoh, anda sudah pun memiliki produk yang bagus, kek coklat yang bila dipandang sesiapa pun terliuq, tapi tanpa perancangan dari aspek pemasaran serta inisiatif untuk memantapkan ilmu pemasaran, mampukah bisnes anda mendapat keuntungan yang maksimum? Dalam perniagaan juga, aliran keluar masuk wang perlu diuruskan dengan efisien untuk mengelakkan masalah di masa hadapan.

 

Pelabur

Untuk memulakan bisnes, memang banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Maklumlah, belum ada lagi pelabur-pelabur yang berani nak hulurkan duit sebelum melihat hasilnya.

Walaupun dah ada pelabur, kadangkala atas sebab yang tak dapat dikawal, syarikat mungkin tidak mempunyai bajet yang cukup. Dalam hal ini, siapa lagi yang perlu mengeluarkan wang yang lebih untuk memastikan urusan perniagaan berjalan dengan lancar kalau bukan diri sendiri?

Terdapat juga cara untuk memulakan perniagaan tanpa modal. Ia biasa disebut sebagai cara bootstrap. Mungkin ini boleh menjadi pilihan anda.

Pakar Komunikasi

‘Topi’ yang seterusnya ini melibatkan kebolehan anda untuk berkomunikasi. Sebagai ‘tokoh’ perniagaan, anda bertanggungjawab untuk memancarkan kebolehan untuk menguruskan bisnes. Kebolehan anda untuk berkomunikasi dengan efektif ini seterusnya akan membuka hati usahawan lain di dalam industri yang sama untuk bekerjasama dengan anda di masa hadapan.

Sebenarnya anda tak boleh lari daripada memainkan peranan ini kerana dalam sesuatu perniagaan ada banyak dokumen-dokumen yang perlu dihasilkan seperti rancangan perniagaan, dokumen teknikal, geran, iklan dan lain-lain lagi.

Komunikasi yang efektif juga penting untuk menarik lebih ramai pelabur. Namun begitu, usaha anda sebagai usahawan tidak terhenti di sini kerana, “Money matters, especially when it’s not your own,” ataupun wang menjadi sangat penting terutama sekali apabila ianya bukanlah duit anda.

Dalam hal ini, apabila sudah mendapat pelabur untuk bisnes, anda perlu bersikap lebih terbuka tentang setiap langkah yang akan diambil dan tentang tahap kepentingan (priority) perkara yang perlu diselesaikan. Kesemua hal ini memerlukan kebolehan komunikasi untuk mengelakkan konflik.

 

Topi Masa Depan

Memiliki perniagaan memerlukan anda melakukan banyak perkara yang tidak ada dalam bidang kerja. Anda perlu mengorbankan masa dan tenaga untuk menyelesaikan banyak hal sampingan lain akibat kekurangan kakitangan ataupun kepakaran.

Kalau difikirkan bajet yang perlu dikeluarkan untuk menggaji orang lain, sekilas pandangan,  terasa merugikan. Namun, jika anda mampu menjadi kritikal di dalam pemilihan kakitangan, mereka dapat menjadi aset yang penting dalam perniagaan.

Untuk menjadi bijak di dalam hal ini, anda perlulah mengetahui sedikit sebanyak tentang bidang kerja kesemua peranan ataupun ‘topi-topi’ yang berbeza ini dan cara yang terbaik adalah dengan ‘menggayakannya’ sendiri.

Namun begitu, sampai bila nak buat semuanya secara solo, kan? Ingatlah, semakin spesifik bidang kerja seseorang semakin terperinci sesuatu kerja dapat dilaksanakan.

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: