4 Tabiat Waktu Pagi Orang Yang Berjaya

Jika dilihat pada senario masyarakat sekarang, rata-ratanya bangun awal pagi, khususnya yang berada di ibu kota. Biasanya kita bangun awal pagi untuk solat subuh dan terus bersiap sedia untuk pergi ke tempat kerja. Tetapi orang yang berjaya mengetahui suitu rahsia yang ramai yang tidak tahu, iaitu sebenarnya ada banyak lagi kelebihan di awal pagi.

Pernahkah anda terfikir akan kelebihan tahajjud, qiamullail, dan aktiviti lain yang sering dilakukan sebelum waktu subuh? Ia adalah kerana awal pagi merupakan waktu yang sangat istimewa. Ia merupakan waktu yang sunyi dan syahdu. Waktu yang sesuai untuk aktiviti rohani dan jasmani.

Bukan itu sahaja, ramai usahawan yang menyatakan bahawa rahsia kejayaan mereka adalah disebabkan oleh bangun pada awal pagi.

Sumber: http://www.analykix.com/2016/01/dwayne-rock-johnson-joins-ua.html

Pelakon terkenal yang merupakan bekas ahli gusti, Dwayne ‘The Rock’ Johnson, bangun pada pukul 4 pagi dan pergi ke gim sebelum memulakan harinya. Wow!

Mesti anda terfikir: saya juga bangun awal pagi, tetapi kenapa saya tidak mendapat kejayaan seperti mereka?

Ini kerana mereka mempunyai tabiat-tabiat di awal pagi yang jarang dilakukan oleh orang kita.

Jika anda mahu berjaya, anda perlu bina tabiat ini mulai sekarang.

Jadi, apakah tabiat-tabiat orang yang berjaya pada awal pagi?

Tabiat #1: Bersenam

Senaman pagi amat penting kerana ia dapat merembeskan ‘endorfin’ yang boleh merangsangkan tubuh dan minda anda. Selain membekalkan tenaga yang mencukupi, bersenam di waktu pagi juga dapat membantu anda merungkai masalah dan membuatkan minda anda berfikir dengan lebih kreatif sepanjang hari.

Banyak aktiviti senaman yang boleh dilakukan pada waktu pagi, antaranya senaman kurang dari 10 minit yang senang dan pantas seperti jumping jacks, push up, sit up, dan pelbagai senaman kardio. Jika tidak biasa, beriadah di taman dan berjoging selama 20 minit juga sudah mencukupi.

Tambahan juga, dengan badan sihat, otak pun cerdas. Ini akan memberi tenaga yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan anda dengan momentum yang kuat.

Jangan jadikan alasan sibuk, untuk tidak melakukan senaman. Cuba anda fikirkan: Jika sesetengah orang di dunia, yang mempunyai jadual begitu sibuk, boleh meluangkan sedikit masa untuk bersenam, tentu anda juga boleh jadi orang yang berjaya!

Tabiat #2: Meditasi

Bagi orang Islam, kita solat lima waktu setiap hari. Tetapi, setelah selesai, kita hanya bangun dan berlalu pergi. Berapa kalikah kita duduk diam dan renungkan kehidupan kita serta perkara yang patut kita bersyukur? Itulah yang dinamakan meditasi.

Kita tidak mengamalkan tabiat ini mungkin kerana kita memandang remeh akan kelebihan meditasi yang dapat menenangkan minda, mengurangkan stres, mengawal emosi, membuatkan fikiran lebih jelas dan tenang. Sedangkan, perkara ini penting untuk kejayaan hari kita.

Seperti yang dikatakan tadi, solat merupakan satu bentuk meditasi bagi orang kita. Lalu, cara meditasi terbaik pada awal pagi ialah dengan melakukan ‘qiamullail’ dan ‘zikrullah’ kerana kita akan mendapat ketenangan jiwa yang membuatkan kita lebih fokus dan seimbang.

Sedangkan orang Barat sudah mengambil berat akan perlunya untuk bermeditasi, mengapa tidak kita? Hidup di dunia yang serba pantas ini, diri kita sangat memerlukan masa refleksi yang tenang.

Malah, syarikat startup berteknologi di Lembah Silikon (Silicon Valley) telah mencipta aplikasi meditasi untuk memudahkan pengguna seperti The Mindfulness App, Headspace, Calm, dan lain-lain. Ia kini menjadi industri yang berbilion dolar. Menarik bukan?

Jadi, bagi umat Islam, kita telah diajar untuk solat dan bermeditasi sejak kecil, kita seharus lebih baik dalam hal ini.

Nasihat saya, daripada menghabiskan masa memeriksa media sosial selepas bangun dari tidur, mengapa tidak luangkan sedikit masa di awal pagi untuk melakukan meditasi bagi memperbaiki personaliti diri untuk berjaya!

Tabiat #3: Menulis Jurnal

Kita sering menyimpan idea-idea dan perancangan jadual di dalam memori otak kita. Namun, sejauh manakah memori itu bertahan? Selalunya kita senang lupa apa yang telah disimpan dan sukar untuk mengingatinya kembali.

Solusinya, kita perlu tulis di dalam buku nota atau jurnal. Lagi mudah, dengan kecanggihan teknologi sekarang, kita hanya catatkan di dalam aplikasi jurnal mudah alih seperti Day One, Journey, Momento, dan lain-lain.

Saya tahu ini mungkin agak aneh kerana budaya menulis jurnal amat jarang dipraktikkan dalam masyarakat kita. Tetapi tahukah anda, budaya ini amat popular di negara barat kerana terbukti keberkesanannya untuk memori.

Telah ramai orang yang berjaya, usahawan, ahli politik dan selebriti telah berkongsi tentang tabiat menulis jurnal mereka secara meluas. Apa sebab mereka menyimpan jurnal?

Journaling memberi peluang untuk menjelaskan pemikiran kita. Apabila kita merasa terharu dengan emosi dan merasakan bahawa fikiran kita bercelaru, menulis jurnal dapat memberikan kejelasan kerana kita dapat menyusunnya di dalam bentuk tulisan.

Sebelum memulakan sesuatu, bayangkan tiga hingga empat perkara yang jika dilakukan, akan memberikan hasil yang bermakna dalam hidup anda dan tuliskan di dalam jurnal. Ia akan membantu anda berfikiran optimis dan bermotivasi untuk menjalani kehidupan seharian.

Simpan buku nota kecil untuk merekod idea-idea yang muncul tatkala anda sedang bersenam, meditasi/solat, atau bersarapan. Tidak kira apa pun idea tersebut, tulislah di dalam buku anda! Di penghujung hari, renungkan balik catatan anda, adakah ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan anda.

Tabiat #4: Bangun Awal

Burung yang keluar sarang awal-awal pagi akan dapat ulat yang banyak dahulu

Yang paling penting, untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti di atas, anda hendaklah bangun pada awal pagi. Dengan itu, anda boleh lakukannya tanpa mengganggu waktu kerja anda.

Tambahan lagi, masa itu terhad. Jadi, anda perlu berusaha untuk memaksimumkan penggunaannya.

Antara hal yang terbaik untuk dilakukan adalah bangun pada awal pagi dan mula bekerja tatkala orang lain masih lagi dibuai mimpi di atas katil.

Perdana Menteri kita, Tun Mahathir juga mengatakan rutin beliau mengekalkan gaya hidup yang sihat ialah dengan bangun pada jam 6.30 pagi setiap hari, solat, berjalan kaki, berbasikal, dan menunggang kuda. Bagi mereka yang ada kuda, bolehlah ikut. Tapi untuk yang lain, berjalan kaki pun dah elok.

Bagi yang sudah biasa bangun lewat, tabiat ini akan menjadi cabaran paling hebat. Namun, jika nak jadi orang yang berjaya, apa salahnya mencuba!

Siti Wardah

I am a linguistics student who is exploring the strange world of media (content writing). Hope everyone enjoy my writings. :)

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: