Cara Penggunaan Telefon Pintar Dengan Produktif

Ramai yang mengatakan penggunaan telefon pintar banyak memakan masa dan menjadikan hari-hari mereka kurang produktif. Adakah anda tahu bahawa anda boleh menjadikan telefon pintar anda sebagai satu item yang produktif, bukannya satu gangguan.

Bagaimanakah caranya?

Di sini, kami kongsikan cara-cara penggunaan telefon yang bermanfaat di dalam dan luar tempat kerja.

Hapuskan Gangguan

Seperti yang dikatakan ramai, telefon pintar banyak mendatangkan gangguan kepada pengguna. Tetapi hal ini berlaku jika ianya tidak digunakan dengan betul. Dan penyebabnya ialah cara penggunaan aplikasi, notifikasi, dan masa. Oleh itu, anda hendaklah pandai menguruskan kriteria-kriteria ini dengan betul. Jadi, mari lihat bagaimana untuk menguruskannya.

Pengurusan aplikasi

Aplikasi yang terpapar di skrin telefon anda sangat mempengaruhi cara penggunaannya. Anda perlu pilih aplikasi yang penting untuk kegunaan harian, dan paparkannya di skrin utama. Kebiasaan bagi orang ramai adalah seperti aplikasi e-mel, perancang (planner), dan penyimpan nota (note-taking).

Manakala bagi aplikasi-aplikasi lain yang banyak memakan masa seperti laman media  sosial, video, dan permainan, asingkan ke dalam file-file yang berlainan. Adalah lebih baik jika anda membuangnya terus daripada skrin utama telefon.

Dengan berbuat demikian, anda akan kurang perhatian kepada aplikasi-aplikasi yang melalaikan ini. Bagi aplikasi yang jarang digunakan, anda boleh nyah-pasang dari telefon anda kerana ianya boleh dipasang kembali jika anda ingin menggunakannya.

Pengurusan notifikasi

Notifikasi yang masuk ke dalam paparan telefon anda juga dapat mengganggu kerja anda. Terutamanya notifikasi daripada laman-laman media sosial. Apabila notifikasi ini terpapar di skrin, anda akan membukanya dan mula melayari laman tersebut buat masa yang lama.

Bagi mengelakkan hal ini berlaku, anda boleh matikan notifikasi yang tidak penting seperti pengumuman media sosial dan permainan, kemas kini aplikasi, dan e-mel yang tidak berkaitan dengan kerja. Jika mahu mendapat tahu akan notifikasi yang penting, anda boleh menukar kepada mod senyap ketika waktu bekerja.

Bagi menguruskan notifikasi telefon, disarankan anda untuk mencuba aplikasi seperti ‘Offtime’ yang menyekat aplikasi yang mengganggu seperti Whatsapp, Instagram dan Facebook. Anda juga boleh menggunakan aplikasi ‘Notifications Off’ yang mana anda boleh membuat beberapa profil dan memilih salah satu daripada mereka untuk menyekat pemberitahuan dengan satu klik.

Pengurusan masa

Pengurusan masa dengan penggunaan telefon pintar adalah sangat penting bagi memastikan produktiviti kerja anda. Bagi mengelakkan penggunaan yang lama, anda boleh tetapkan masa untuk penggunaan media sosial, permainan, dan aplikasi lain.

Anda juga boleh menyesuaikannya untuk mod yang berbeza seperti waktu kerja, waktu keluarga, dan waktu sendiri untuk memastikan anda mempunyai akses kepada perkara yang anda perlukan, tetapi tidak terganggu oleh perkara yang anda tidak perlukan.

Manfaatkan Masa Lapang

Penggunaan telefon pintar juga dapat mengisi masa lapang anda dengan lebih bermanfaat jika ia digunakan dengan betul. Ia boleh digunakan untuk membaca, menulis, mendengar, belajar bahasa, serta berbelanja dengan hanya satu peranti.

Jika sebelum ini anda hanya berbual dan menulis komen di laman sosial, kami sarankan anda agar membaca dan mengambil input-input berguna daripada halaman yang bermaklumat seperti laman berita atau akhbar dalam talian. Anda juga boleh berkongsi maklumat yang mendatangkan manfaat dengan menyiarkannya di media sosial.

Anda juga boleh memuat turun podcast bagi program-program ceramah atau berita radio lalu mendengarnya dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja. Selain daripada meningkatkan kemahiran mendengar, ia juga dapat mengisi masa lapang serta menambah pengetahuan anda.

Pada masa lapang, telefon pintar anda juga boleh digunakan untuk belajar bahasa baru terutamanya Bahasa Inggeris kerana ia dituturkan di seluruh dunia. Saranan kami, gunalah aplikasi ‘Duolingo’ yang menyediakan pelbagai ciri menarik tanpa bayaran.

Selain itu, bagi umat Islam, anda boleh pasang aplikasi Al-Qur’an supaya anda boleh membacanya pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Seperti menjadi trend pada masa kini, pembelian dalam talian menggunakan aplikasi telefon adalah sangat berguna. Ianya dapat memudahkan anda untuk membeli barang dengan hanya satu klik serta menjimatkan masa. Tetapi, anda harus ingat! Anda perlu merancang dan mengawal perbelanjaan anda supaya anda tidak akan membelanjakan lebih daripada yang anda perlukan.

Gunakan Aplikasi Yang Produktif

Telefon pintar kini seperti komputer mini yang mempunyai keupayaan untuk menjadi produktif di hujung jari. Dengan adanya peranti berkuasa ini, ia membolehkan anda menjadi mudah alih dan produktif pada masa yang sama. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pekerjaan freelance juga berkembang dengan meluas disebabkan kebolehan ini.

Untuk lebih lagi meningkatkan produktiviti anda, periksa senarai pilihan kami untuk aplikasi digital terbaik bagi penyimpanan nota, to-do-list, dan pengurusan e-mel untuk iOS dan Android:

Aplikasi penyimpanan nota

Bagi penyimpanan nota (note-taking), kami mencadangkan anda memasang aplikasi-aplikasi seperti OneNote, Evernote, Simplenote, dan Google Keep. Dengan kecanggihan teknologi semasa, aplikasi ini membolehkan anda menyimpan segala-galanya di satu tempat dan sentiasa boleh diakses pada semua peranti dan komputer anda yang lain.

Aplikasi to-do-list

Anda juga boleh merancang masa anda dengan lebih berkesan serta memberikan peringatan menggunakan aplikasi seperti Todoist, Wunderlist, dan Google Tasks. Ia boleh membantu anda menguruskan to-do-list anda secara teratur serta mengingatkan anda pada tarikh-tarikh penting dan acara-acara yang telah direkod.

Aplikasi e-mel

Untuk memastikan peti masuk e-mel anda teratur, anda boleh menggunakan aplikasi Microsoft Outlook, Aqua Mail, and Blue Mail. Aplikasi ini akan menguruskan mail-mail yang masuk ke peti masuk anda, yang mana dapat memastikan anda tidak perlu terlepas e-mel penting lagi.

Dengan semua aplikasi moden ini, telefon pintar anda dapat membantu anda menjadi lebih produktif untuk melakukan kerja. Anda harus memanfaatkan sepenuhnya keupayaan telefon pintar anda dengan mengakses aplikasi yang tersedia untuk membantu memastikan anda lebih cekap bekerja. Gunakan dengan bijak, sentiasa produktif!

Siti Wardah

I am a linguistics student who is exploring the strange world of media (content writing). Hope everyone enjoy my writings. :)

Tinggalkan Jawapan

%d bloggers like this: